Dua kanak-kanak antara 3 maut, dua kereta bertembung

Dua kanak-kanak antara 3 maut, dua kereta bertembung

am@hmetro.com.my

Kulim: Dua kanak-kanak antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Sungai Kob, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 5.09 petang.

Beliau berkata, sepasukan lima anggota dari BBP Kulim Hi Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohamad Yazan Yahaya tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan memaklumkan kemalangan membabitkan dua kereta dan terdapat tiga mangsa tersepit dalam salah sebuah kereta.

“Sebaik tiba didapati kemalangan membabitkan Perodua Viva dan sebuah Proton S70 bertembung dan terbabas ke bahu jalan.

“Pemandu kereta Perodua Viva tersepit di dalam kereta, manakala dua kanak-kanak lelaki tidak sedarkan diri.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kereta Proton S70 dilaporkan terbakar di tempat kejadian dan pemandunya seorang lelaki berjaya keluar dari kereta dan cedera ringan sebelum dibawa ke Hospital Kulim, ” katanya di sini hari ini.

Azmir berkata, dua kanak-kanak lelaki di bahagian penumpang kereta Perodua Viva dikeluarkan dengan bantuan orang awam manakala pemandunya tersepit.

“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Kereta yang terbakar dipadamkan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulim, ” katanya.

Azmir berkata, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 6.16 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top