Dulu digilai peminat, kini ‘belai’ mesin rumput

Dulu digilai peminat, kini ‘belai’ mesin rumput

MELAKA – Pernah bergelar selebriti dan mempunyai peminat, namun semua itu dilupakan selepas memilih untuk menjaga stor mesin rumput dan mengutip sampah sebagai kerjaya yang menjamin masa depan.

Itu pengorbanan dilakukan bekas pemain gitar kedua kumpulan rock Olan yang terkenal sekitar 1990-an, Azul, atau nama sebenarnya, Zulkifli Abdul Hamid, 57.

Menurutnya, dia menerima takdir itu dengan hati yang terbuka malah, mengakui lebih gembira dengan kerjayanya kini yang sudah sebati dalam hidupnya sejak 19 tahun lalu.

Zulkifli mengimbau kenangan melihat rakaman video ketika membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu 1991 membawakan lagi Cinta Bandar Tasik Selatan

“Waktu mula-mula bekerja di sini pada 2005, ada juga suara-suara nakal rakan memperlekehkan saya kerana sanggup berubah dari hidup glamor kepada tugas kutip sampah di dalam longkang.

“Namun, saya tidak kisah kerana itulah realiti dunia ibarat roda yang bukan selamanya kita berada di atas,” katanya ketika ditemui pemberita di SWM Environment Sdn Bhd, Cheng, di sini hari ini.

Zulkifli melepaskan rindu memetik gitar setelah lebih 30 tahun meninggalkan kumpulan rock Olan

Bercerita lanjut Zulkifli berkata, dia meninggalkan kumpulan itu pada 1993 kerana tidak sehaluan selepas menyertai selama dua tahun.

“Kenangan manis saya adalah apabila Olan menjadi finalis Anugerah Juara Lagu 1991 membawakan lagu Cinta Bandar Tasik Selatan yang masih menjadi siulan sehingga ke hari ini.

“Walaupun semua itu sudah tinggal kenangan, sesekali ada juga saya bermain gitar melepaskan rindu walaupun petikan jari tidak sama selepas diserang penyakit saraf tiga tahun lalu,” katanya.

Zulkifli melakukan rutin memastikan mesin rumput sentiasa dalam keadaan baik.

Tambahnya, walaupun kehidupannya jauh berbeza berbanding lebih 30 tahun lalu, namun gembira dengan kerjayanya sebagai penjaga stor mesin rumput di SWM sehingga dapat menunaikan umrah tahun lalu.

“Kalau dulu saya terkenal dengan petikan gitar, tapi hari ini, saya lebih gembira dapat ‘membelai’ mesin rumput kerana mempunyai gaji tetap dan menjamin simpanan di hari tua.

“Biarlah apa orang hendak kata saya bekerja di syarikat yang menguruskan sampah, asalkan itu lebih menggembirakan saya,” katanya – MalaysiaGazette

Scroll to Top