Dunia ucap selamat tinggal 2025, sambut 2026 dengan harapan baharu

Dunia ucap selamat tinggal 2025, sambut 2026 dengan harapan baharu

Sydney: Pengunjung Ambang Tahun Baharu akan meraikan pengakhiran 2025 pada Rabu, melambaikan selamat tinggal kepada 12 bulan yang padat dengan tarif Trump, gencatan senjata Gaza dan harapan sia-sia untuk keamanan di Ukraine.

Tahun ini tercatat sebagai antara yang terpanas dalam rekod, dengan haba melampau mencetuskan kebakaran hutan di Eropah, kemarau di Afrika dan hujan maut di seluruh Asia Tenggara.

Persiapan pesta di Sydney, Australia, diselubungi suasana suram walaupun bandar ini mengisytiharkan diri sebagai “ibu kota Tahun Baharu dunia” dan antara bandar utama pertama menyambut 2026.

Tidak sampai dua minggu berlalu sejak seorang bapa dan anak didakwa melepaskan tembakan di pesta Yahudi di Pantai Bondi, membunuh 15 orang dalam kejadian amuk paling berdarah di negara itu sejak hampir 30 tahun.

Pesta akan dihentikan seketika untuk bertafakur selama seminit pada jam 11 malam (1200 GMT) dan Jambatan Pelabuhan Sydney yang terkenal akan disinari cahaya putih sebagai simbol keamanan.

“Tahun ini amat sukar buat ramai orang,” kata Steph Grant, penduduk Sydney berusia 32 tahun.

“Harapnya dunia akan kelihatan lebih cerah pada 2026,” ujar Grant yang bekerja dalam bidang pengiklanan.

Ratusan ribu penonton dijangka membanjiri pinggir pantai Sydney apabila sembilan tan bunga api diletupkan tepat pada detik tengah malam.

Kawalan keselamatan akan lebih ketat berbanding biasa, dengan pasukan polis bersenjata berat meronda di celah orang ramai.

Gencatan Senjata dan Tarif

Patung Labubu menjadi kegilaan seluruh dunia pada 2025, pencuri merompak Louvre di Paris dalam satu kejadian berani, dan kumpulan pujaan ramai K-pop, BTS membuat kemunculan semula yang dinanti-nantikan.

Dunia kehilangan ahli zoologi perintis Jane Goodall, Vatican memilih paus baharu, dan pembunuhan aktivis berhaluan kanan Charlie Kirk mendedahkan perpecahan politik yang mendalam di Amerika Syarikat (AS).

Presiden AS Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari, melancarkan serangan tarif yang menyebabkan pasaran global menjunam.

Dari pulau-pulau yang dikelilingi palma di Pasifik Selatan hingga ke kilang-kilang besar di Shanghai, hanya sedikit yang terselamat daripada serangan perdagangan itu.

Susulan dua tahun perang yang menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah, tekanan AS membantu mencapai gencatan senjata rapuh antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas.

Israel membalas serangan paling berdarah sejak penubuhannya itu dengan kempen ketenteraan yang membunuh lebih 70,000 orang di Gaza, juga kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah dikendalikan Hamas, angka yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kedua-dua pihak saling menuduh melakukan pelanggaran gencatan senjata yang nyata, menimbulkan keraguan mengenai ketenangan jangka panjang.

Perang di Ukraine — tercetus akibat pencerobohan Rusia pada 2022 — kini menghampiri ulang tahun keempatnya pada Februari.

Terdapat harapan bahawa diplomasi antarabangsa yang diperbaharui mungkin membuahkan hasil tahun ini, namun Rusia menolak sebarang idea gencatan senjata sementara pada hari-hari terakhir 2025.

Ketika utusan berulang-alik antara Moscow, Washington dan Kyiv, satu halangan utama kekal: Ukraine enggan menyerahkan tanah, dan Rusia tidak mahu memulangkannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top