EAG sokong KKM terus terajui CPRC

EAG sokong KKM terus terajui CPRC

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kumpulan Pakar Penasihat Kesihatan dan Sains COVID-19 (EAG) tidak bersetuju dengan gesaan yang mahu pihaknya mengambil alih Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebaliknya kumpulan itu menegaskan mereka sentiasa menyokong KKM untuk terus menerajui CPRC dalam memerangi pandemik COVID-19.

EAG yang dianggotai enam pakar perubatan dalam kenyataannya berkata berfungsi untuk melengkapkan strategi pandemik KKM dan menyokong amalan terbaik kesihatan awam yang akan membolehkan Malaysia keluar daripada pandemik itu secepat mungkin.

“Bagi mencapai tujuan itu, kami sudah mengadakan pertemuan pengurusan KKM sejak penubuhan kumpulan kami pada 8 Februari lalu.

“Kami juga terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang relevan untuk merangka pelan jangka pendek dan sederhana untuk menguruskan COVID-19 di negara ini,” katanya.

EAG dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Prof Emeritus Abu Bakar Sulaiman dengan dibantu lima pakar perubatan terkenal.

Mereka terdiri daripada Ketua Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Prof Dr Rosmawati Mohamed dan bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mary Cardosa.

Selain itu ia turut dianggotai bekas Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan dan wakil Persatuan Doktor Kesihatan Awam Malaysia (PHPAM), Datuk Dr Fadzilah Kamaluddin; Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh serta bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan Doktor Penyakit Berjangkit, Datuk Dr Christopher Lee.

EAG disokong sepenuhnya oleh rangkaian Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang kritikal yang terdiri daripada pakar perubatan, penjagaan kesihatan dan industri yang dapat dirunding secara ‘ad-hoc’.

Menurut kenyataan itu, dengan rangkaian sokongan berkenaan, EAG berharap dapat menginspirasikan usaha seluruh masyarakat bagi memerangi COVID-19.

“Ketika pandemik terus berleluasa dan pada tahap membimbangkan, kita harus fokus pada tujuan bersama untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” katanya.

Sebelum ini Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin mencadangkan beberapa penyelesaian sebagai pelan tindakan untuk mengelak penularan pandemik COVID-19 daripada terus mencatatkan peningkatan termasuk mengesyorkan EAG mengambil alih CPRC daripada kepemimpinan KKM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top