Eizlan tetap bersemangat sertai Universiade

Eizlan tetap bersemangat sertai Universiade

Kuala Lumpur: Atlet lompat tinggi negara, Mohamad Eizlan Dahalan mahu membuat yang terbaik di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu di China, walaupun sibuk menumpukan pengajian pada semester akhir di Universiti Malaysia Sabah.

Mengakui sukar baginya menetapkan sasaran di temasya itu, pemenang pingat gangsa di Sukan Sea Kemboja itu berkata, penting buatnya mempamerkan aksi terbaik, kerana temasya yang berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini, adalah pentas terakhirnya pada peringkat universiti.

Atlet berusia 23 tahun itu tetap berusaha sehabis baik menjalani latihan secara konsisten, bagi memperbaiki kelemahan walaupun tanpa bimbingan jurulatih di Sabah.

“Saya masih tidak tetapkan sasaran di China, namun tetap berusaha menjalani latihan secara konsisten terutamanya apabila sekarang ini mahu fokus semester akhir Sarjana Muda Sains Sosial dan Kemanusiaan (Antropologi dan Sosiologi).

“Namun saya tidak pernah berhenti berlatih, contohnya akan mula berlatih 5.30 pagi dan masuk kelas jam 8 pagi. Jadi memang agak kelam kabut sedikit sekarang ini, namun tetap mahu buat yang terbaik di kejohanan terakhir di peringkat universiti,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Eizlan yang berada dalam Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan, akan berangkat ke China pada 29 Julai ini tanpa sempat menjalani latihan bersama jurulatih Lee Hup Wei secara bersemuka, di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun berkata akan cuba mengikuti kerangka program latihan yang ditetapkan bekas juara Asia itu, bagi mendapatkan hasil yang membanggakan Malaysia.

“Saya ada ujian terakhir pada 26 Julai dan hanya berangkat ke ibu negara pada keesokan harinya (27 Julai), manakala 29 Julai akan berangkat bersama pasukan ke China. Jadi jadual padat itu mungkin tidak membolehkan saya jalani latihan terakhir di Kuala Lumpur.

“Macam saya tiada jurulatih tetap di Sabah, jadi saya memang ikut program Hup Wei dan hanya mula menjalani latihan sepenuh masa di MSN, Kuala Lumpur pada hujung Oktober ini selepas latihan industri tamat,” katanya.

Mohamad Eizlan memaklumkan hanya Universiade di China berada dalam kalendar kejohanannya setakat ini dan akan diiringi Farrel Glenn Felix Jurus pada temasya itu.

Sebelum ini, catatan terbaik beliau di peringkat universiti ialah 2.15 meter (m) yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top