Empat ditahan ketika leka curi kabel di tepi jalan

Empat ditahan ketika leka curi kabel di tepi jalan

am@hmetro.com.my

Taiping: Empat lelaki ditahan polis ketika sedang leka membuka penutup lubang kabel di tepi jalan Kamunting – Batu Kurau berhadapan Kolej Vokasional, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata pihaknya menerima laporan mengenai sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang membuka penutup lubang kabel di tepi jalan, jam 1.50 pagi.

Menurutnya bertindak atas maklumat polis ke lokasi dan menahan semua suspek yang dipercayai sedang mencuri kabel.

“Semua suspek yang ditahan berusia antara 38 hingga 41 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya kesemua kes curi kabel yang berlaku di sekitar Kamunting dan Taiping dilakukan kumpulan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas khas membuka penutup lubang kabel, dua bilah parang, dua pemutar skru dan Perodua Myvi yang digunakan suspek.

Menurutnya, semua suspek kini direman sehingga 17 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/511.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan kerana pihak polis percaya kumpulan ini turut terbabit dengan beberapa siri kes curi kabel di sekitar Perak.

Terdahulu tular di media sosial video sekumpulan lelaki sedang menarik kabel bawah tanah menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Tindakan kumpulan itu kelihatan bersahaja melakukan aktiviti menarik kabel pada awal pagi tanpa bimbang aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top