Fahami konsep ketuhanan dengan jelas, bebas beribadat cara masing-masing-Mufti Pulau Pinang

Fahami konsep ketuhanan dengan jelas, bebas beribadat cara masing-masing-Mufti Pulau Pinang

am@hmetro.com.my

Georgetown: Walaupun Muslim dilarang menyertai atau menghadiri ritual agama lain, orang Islam masih boleh bersahabat dan berinteraksi dengan golongan bukan Islam dalam majlis keramaian, kenduri, bersukan dan lain-lain.

Malah seseorang Muslim itu tidak dilarang malah harus menghadiri majlis perkahwinan dan kematian orang bukan Islam selagi ia tidak membabitkan perkara maksiat.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perkara maksiat itu antaranya seperti meminum minuman keras, tarian yang mengghairahkan serta pendedahan aurat.

“Apa yang dimaksudkan sebagai upacara keagamaan atau ritual adalah seperti amalan menyembah berhala, patung, menyembah Jesus Christ, upacara memuja roh nenek moyang dan seumpamanya.

“Penganut Islam dilarang menyertai atau menghadiri upacara sedemikian kerana ia dianggap sebagai perbuatan syirik iaitu menyekutu sesuatu dengan Allah SWT,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai Kerajaan Negeri Johor yang akan mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat.

Ia bagi membolehkan umat Islam di Johor mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, perlu diketahui bahawa agama Islam adalah agama Tauhid yang mutlak berpaksikan atas kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa (Allah SWT) secara tegas dan hanya Dia sahaja yang disembah dan dipuja di dalam Islam.

“Kita perlu fahami isu ini secara jelas bahawa konsep ketuhanan adalah berbeza di dalam pelbagai agama dan hakikat ini sudah wujud sejak zaman silam sehingga ke hari ini.

“Begitu juga kita dapati upacara keagamaan juga berbeza-beza, jadi adalah mustahil agama ini disatukan malah kefahaman pluralism agama adalah mitos dan khayalan yang tidak mungkin direalisasikan di alam realiti,” katanya.

Menurut Wan Salim, masyarakat boleh memupuk sikap toleransi antara penganut pelbagai agama, saling menghormati kepercayaan dan amalan beragama semua kaum.

“Saya lebih suka melihat isu hubungan rentas agama dan budaya ini dalam skop luas dan didapati, terlalu banyak persamaan wujud antara sesama rakyat, jadi kenapa kita perlu fokus kepada perbezaan yang hanya sedikit?

“Biarlah semua kaum berpegang kepada kepercayaan masing-masing dan mengadakan ritual sepertimana yang diajar di dalam agama mereka. Malah dalam al-Quran juga terdapat ayat yang menyatakan setiap penganut agama bebas beribadat dengan cara masing-masing,” katanya.

habis

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd