Fakta menarik filem ‘Mael Totey’

Kelantan: Buat peminat filem Mael Totey The Movie (MTTM) yang ingin tahu apakah fakta menarik tentang filem itu. Ini disenaraikan antara 10 fakta menarik tentang filem arahan Youtuber Malaysia terkenal, Syahmi Sazli yang ditayangkan bermula daripada 22 Oktober 2020 itu:

1. Penghasilan dengan bajet serendah RM400,000 manakala penggambaran mengambil masa selama 14 hari.

2. Lebih kurang 30 peratus sahaja lawak sponton, selebihnya adalah skrip yang dihasilkan sendiri oleh pengarahnya iaitu Syahmi Sazli.

3. Banyak dialog Bahasa Inggeris digunakan. Jadi, ia bagus untuk kanak-kanak belajar sambil menonton filem.

4. Dialog Kelantan yang digunakan tidak kekok dan kaku. Sangat santai seperti bersembang.

5. Lagu atau runut bunyi digunakan ialah ‘Gadis Kelate’ (dinyanyikan oleh Poyie Gasi dan Wanie Rohaimie).

6. Selain menampilkan banyak lawak serta punchline berkualiti, MTTM telah membuatkan air mata penonton bergelinang dengan babak sedih.

7. Syahmi hanya menggunakan 5-6 krew berpengalaman dari Kuala Lumpur sebagai bahagian teknikal.

8. Mengetengahkan pelakon OKU sebagai antara watak utama.

9. Banyak mesej dan nilai murni disampaikan.

10. Pengeditan filem ini dihasilkan sendiri oleh Syahmi Sazli.

Namun, menjadi isu apabila ramai orang bertanggapan bahawa perkataan “Totey” membawa maksud yang negatif. Hakikatnya, maksud Totey hanyalah sekadar gelaran yang sinonim dengan sesiapa sahaja yang bernama Mael di negeri Kelantan akan digelar sebagai Mael Totey.

Sebagai sinopsis, filem ini mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha mempelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. Untuk statistik pula, MTTM mencapai kutipan RM5 juta dalam masa 12 hari tayangan dalam saluran 480 Astro First.

Sumber: Gempak

Akmal Hakim
Glamour Desk