KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes percaya kejayaan bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Roma dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah mampu menjadi titik tolak perubahan musim The Red Devils.
Dalam pertembungan di Old Trafford itu, United hampir melanjutkan deretan sembilan perlawanan tanpa kemenangan selepas aksi hambar pada babak pertama.
Bagaimanapun, Fernandes memulakan kebangkitan menerusi sepakan penalti percubaan kedua selepas sepakan pertamanya yang ditepis terpaksa diulang ekoran pemain pertahanan Roma masuk terlalu awal dalam kotak penalti.
Dua jaringan lewat Matheus Cunha pada 10 minit terakhir permainan kemudiannya melengkapkan malam gemilang United sekali gus menghidupkan kembali kempen mereka selepas tewas kepada Atletico Madrid dan Como sebelum ini.
“Penyokong mahukan kemenangan. Mereka sudah biasa melihat kelab ini menjulang trofi dan menang setiap minggu, jadi amat mengecewakan buat mereka melihat situasi kelab ketika ini.
“Namun, saya mahu semua pihak faham bahawa kami juga kecewa dengan situasi semasa. Kami semua mahu keluar daripada kemelut ini dan diharapkan kemenangan hari ini menjadi permulaan kepada sesuatu yang positif buat kami,” katanya.
Terdahulu, Fernandes dilaporkan mengkritik taktikal Carrick susulan kekalahan 1-4 kepada Como sebelum digugurkan ke bangku simpanan ketika tumpas 0-3 di tangan Bournemouth di laman sendiri.
Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris musim lalu itu kemudian kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika tewas 0-2 kepada Chelsea pada Sabtu lalu, keputusan yang meletakkan United berada di atas zon penyingkiran hanya menerusi perbezaan gol.
Mengulas mengenai khabar angin yang bertiup kencang mengaitkan dirinya dengan pengendali pasukan, Michael Carrick, Fernandes menegaskan laporan media sebelum ini tidak betul.
“Ia tempoh yang sukar. Terlalu banyak spekulasi dan pembohongan dalam media mengenai pelbagai perkara yang berlaku di kelab ini, khususnya antara saya dan pengurus.
“Pengurus membuat keputusan meletakkan saya di bangku simpanan kerana prestasi saya merosot, dan itu tindakan yang adil.
“Ramai yang menganggap ia hukuman terhadap kenyataan saya sebelum ini, dan jika benar sekalipun, ia tindakan tepat kerana pengurus berhak membuat keputusan dan saya perlu menerimanya.
“Saya perlu terus mara ke hadapan. Perkara ini langsung tidak mengubah kepercayaan saya terhadap pengurus, barisan kejurulatihan dan semua pemain di kelab ini,” tegasnya.



