KLANG – Bermula tanpa studio dan kemudahan lengkap, Sekolah Kebangsaan (SK) Patau-Patau, Wilayah Persekutuan Labuan membuktikan kekurangan bukan penghalang apabila usaha gigih guru serta muridnya berjaya membawa pulang kejayaan dalam Festival TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026.
Dalam festival berkenaan, guru sekolah itu, Muhamad Faris Mohd Nasir dinobatkan sebagai johan kategori Guru TV PSS Terbaik, manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bercham, Perak, Zayna Natasha Eiman Abdul Halim pula meraih Anugerah Pengacara TV PSS Terbaik.
Muhamad Faris, yang baru tiga tahun bertugas sebagai guru dan dilantik sebagai Penyelaras TV PSS berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha bersama murid dalam membangunkan TV PSS sekolah daripada sifar walaupun berdepan kekangan kemudahan.
“Bila diumumkan, memang tidak sangka dan bersyukur sangat. Mula-mula bertugas di sana, studio pun tiada dan pusat sumber kami agak ketinggalan berbanding sekolah lain, namun ia menjadi pendorong untuk kami bersaing.
“Kejayaan ini adalah hasil sokongan padu keluarga, Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta bimbingan berterusan pegawai Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Labuan,” katanya.

Anugerah Pengacara TV PSS Terbaik disandang pelajar SMK Bercham, Zayna Natasha Eiman Abdul Halim. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID
Sementara itu, Zayna Natasha yang mencipta kejayaan dalam penampilan sulungnya di peringkat kebangsaan berkata, dia berasa gembira dan bangga apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengacara TV PSS Terbaik.
Pelajar berkenaan yang berasal dari Shah Alam, Selangor sebelum berpindah ke Ipoh berkata, persediaan rapi serta disiplin menjadi kunci kepada kejayaannya.
“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan, jadi apabila diumumkan sebagai johan Pengacara Terbaik, saya amat bersyukur.
“Kuncinya adalah disiplin. Biasanya sehari sebelum penggambaran, saya akan menghafal skrip terlebih dahulu bagi memastikan penyampaian lancar,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.