MOSCOW – Norway memperuntukkan AS$13.2 juta (RM54.6 juta) bagi menyokong Palestin, kata Menteri Luar Norway Espen Barth Eide, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Keperluan Palestin terhadap sokongan antarabangsa kini lebih besar berbanding sebelum ini. Sehubungan itu, kami menyediakan AS$13 juta kepada Palestin menerusi saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia, termasuk sokongan belanjawan kepada sektor awam Palestin,” kata Eide seperti dipetik Kementerian Luar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Pada 9 Oktober 2025, Israel dan Hamas mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata di Semenanjung Gaza susulan rundingan di Sharm el-Sheikh, dengan Mesir, Qatar, Amerika Syarikat (AS) dan Turkiye terlibat dalam usaha pengantaraan.
Persetujuan itu kemudiannya diperakui pada Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh pada 13 Okt.
Persetujuan berkenaan memperuntukkan gencatan senjata, pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, peningkatan bantuan kemanusiaan serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat.
Pelaksanaan persetujuan itu masih belum selesai sepenuhnya, dengan kedua-dua pihak berbeza pendirian mengenai urutan langkah seterusnya.
Israel menggesa Hamas dilucutkan senjata sebelum pengunduran lanjut tenteranya, manakala Hamas menegaskan serangan Israel perlu dihentikan terlebih dahulu, tentera Israel berundur dan komitmen kemanusiaan ditunaikan. – Bernama