bhnews@bh.com.my
MACHANG: Merangka pelan pembangunan anak muda Kelantan dari aspek pekerjaan mahupun ekonomi menjadi fokus utama calon PAS Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, 35.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, misi berkenaan adalah perkara utama yang menjadi inspirasinya yang bukan sahaja tertumpu di Machang, malah boleh dilaksanakan pada peringkat negeri dan Persekutuan, namun ia memerlukan kerjasama serta jalinan yang rapat di antara Pusat dan juga kerajaan negeri.
“Kelantan dilihat mempunyai potensi untuk menjadi halal hab termasuk daerah Machang bagi memasarkan produk keluaran tempatan untuk dieksport ke luar negara, seterusnya dijadikan dagangan dalam negeri.
“Di Machang sendiri saya melihat kehidupan masyarakat adalah berasaskan pertanian dan bagi meningkatkan produktiviti penduduk, antara perkara asas yang perlu diselesaikan adalah infrastruktur asas iaitu jalan raya dan juga rangkaian internet untuk memastikan sektor ekonomi serta pertanian berjalan dengan lebih rancak,” katanya.
Serambi ekonomi Asia
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, Kelantan bukan sahaja dikenali sebagai negeri serambi Makkah, malah turut dianggap negeri serambi ekonomi Timur dan serambi ekonomi Asia.
“Bagi memastikan ekonomi berada pada landasan yang berjaya, kita perlu memastikan Kelantan mempunyai integrasi dengan Selatan Thailand dan juga Indo China, barulah Machang boleh dibangunkan secara menyeluruh.
“Pada sama, apabila adanya persinggahan ekonomi, ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada perkembangan ilmu dan sekali gus akan menjadikan Machang sebuah bandar ilmu.
“Bukan itu sahaja, saya juga melihat Machang boleh dibangunkan sebagai hab logistik Kelantan disebabkan ia bersambung dengan bandar utama iaitu Tanah Merah serta Pasir Puteh dan ia amat strategik untuk kita bangunkan ekonomi di luar Kota Bharu,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, sudah tiba masa wakil anak muda diberi mandat untuk mentadbir negara dan pertaruhannya sebagai calon anak muda memberikan kelebihan tersendiri untuknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Golongan muda mempunyai idea serta tampil dengan solusi yang berbeza untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi negara sekarang dan saya sendiri mempunyai banyak perkara yang akan dilakukan untuk mereka selepas ini,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal adalah anak tempatan yang berasal dari Rantau Panjang yang menjawat jawatan terkini sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara, malah sebelum ini beliau pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
