KUALA LUMPUR – Tiga judul komik baharu terbitan Komikraf mencuri perhatian pengunjung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Editor Kreatif Komikraf, Muhamad Yusuf Roofi atau lebih dikenali sebagai Yufi berkata, pihaknya membawa sebanyak 10 judul komik ke acara berkenaan, termasuk tiga karya terbaharu iaitu Apa Jadi Kalau: Seram Pelajar Sekolah, Fantasi Alisha: Ratu Bunian dan Furqan Volume 1.
“Komik Apa Jadi Kalau: Seram Pelajar Sekolah merupakan kompilasi karya daripada 10 pemenang Sayembara Komikraf 2025 yang dihimpunkan dalam sebuah buku bertemakan seram.
“Selain itu, pembeli Fantasi Alisha: Ratu Bunian dan Furqon Volume 1 di reruai Karangkraf akan menerima kad karakter eksklusif secara percuma, namun tawaran ini terhad kepada pembeli sepanjang PBKL 2026,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhamad Yusuf ketika melihat komik baharu keluaran Komikraf.
Yufi berkata, daripada tiga judul baharu yang diperkenalkan, Apa Jadi Kalau: Seram Pelajar Sekolah dan Furqon Volume 1 mencatatkan jualan yang memberangsangkan setakat ini.
Katanya, Furqon mendapat sambutan kerana menggabungkan elemen gaya lukisan pop dan nilai Islamik, manakala Apa Jadi Kalau: Seram Pelajar Sekolah menampilkan hasil karya 10 pelukis profesional yang sesuai dibaca oleh semua lapisan umur.
Mengulas mengenai kandungan Furqon, beliau berkata, komik itu mengisahkan seorang pelajar lelaki yang baru berpindah ke sebuah sekolah menengah dan berdepan pelbagai isu sosial seperti buli, ugutan serta masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
“Persoalannya, bagaimana Furqon menyelesaikan masalah tersebut tanpa melampaui batas sebagai seorang pelajar.
“Menariknya, komik ini turut menyelitkan ayat al-Quran dan hadis sebagai panduan kepada pembaca,” katanya.

Muhamad Yusuf (kiri) bersama pelanggan cilik yang turut membeli buku komik berkenaan.
Tambahnya, karya tersebut turut menggabungkan elemen misteri, detektif, kehidupan sekolah dan nilai-nilai Islamik yang menjadikannya sesuai untuk bacaan remaja.
Menurutnya, Furqon Volume 1 merupakan siri pertama dan pihak Komikraf merancang untuk menerbitkan sambungannya dalam masa terdekat.
Orang ramai yang ingin mendapatkan koleksi komik terbaharu Komikraf boleh mengunjungi reruai Karangkraf di PBKL 2026 yang berlangsung di WTCKL.



