KLUANG- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mempertahankan pemilihan calon parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menegaskan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu adalah pendekatan paling sesuai bagi memastikan kestabilan.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan menegaskan, UMNO tidak boleh mengambil risiko mempertaruhkan keseluruhan barisan calon baharu hanya untuk memenuhi persepsi bahawa parti sedang melakukan pembaharuan.
“Kalau kita beri semua calon baru, ia umpama kita lakukan percubaan.
“Maka atas sebab itulah yang terbaik, perlu ada gandingan dan gabungan antara baharu dengan yang lama,” katanya pada Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia Zon Selatan di sini, pada Ahad.
Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa UMNO membariskan ramai calon ‘kitar semula’ pada PRN Johor.
Dakwa bekas ADUN Rengit itu, senarai calon yang diumumkan BN didakwa tidak mencerminkan pembaharuan dalam parti, sebaliknya masih didominasi calon daripada generasi lama.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan keutamaan parti bukan untuk mempamerkan semua calon baharu, sebaliknya memastikan individu yang dipilih mempunyai kemampuan mentadbir dan melaksanakan tanggungjawab sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Kita bukan hendak pamer semua calon baharu. Lepas menang nanti, kalau tak tahu hendak mula macam mana, itu juga menjadi masalah.
“Pada masa sama, bukan semua calon lama tidak berprestasi. Ada yang terus bekerja dengan baik dan memberi sumbangan. Yang penting ialah keupayaan serta rekod perkhidmatan, bukannya sama ada seseorang itu lama atau baharu,” katanya.
Seramai 172 calon disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di semua 56 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) di 33 kerusi, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) 15 kerusi, MUDA empat kerusi.



