am@hmetro.com.my
Nilai : Galeri Pelawat Siti Khadijah yang terletak di Laman Khadijah, Negeri Sembilan, bukan sekadar sebuah galeri biasa.
Galeri yang menjadi lambang keanggunan Muslimah ini memberi ruang pengalaman menyeluruh menghimpunkan kisah perjalanan, inovasi dan nilai-nilai yang membentuk jenama Siti Khadijah ini selama lebih 15 tahun.
Dari hanya sekadar sehelai telekung putih yang disulam kemas kini jenama ini semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn Bhd, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, galeri berkonsepkan ‘One Stop Centre’ ini merangkumi pelbagai elemen bagi memberi pengalaman menarik kepada pengunjung.
“Galeri ini dibuka bagi mengembalikan kenangan dan perjalanan Siti Khadijah sepanjang 15 tahun beroperasi.
“Ia mengenai bagaimana sebuah jenama dimulakan dengan sederhana hingga berkembang menjadi ikon keanggunan, ketelitian dan mempunyai nilai tradisi,” katanya.
Menurutnya antara tarikan utama pastinya ruang pameran rekaan bentuk muka telekung, makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D), sudut interaktif di mana pengunjung berpeluang merasai sendiri kualiti fabrik.
Kata Mohammad Munzir lagi, Siti Khadijah adalah jenama tempatan pertama dalam segmen ibadah dan produk gaya hidup yang menyediakan destinasi lawatan bagi pengunjung.
“Ia bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai serta memahami warisan dan budaya selain sejarah sambil memberi inspirasi bagi generasi baharu usahawan,” katanya.
Sementara itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli merasmikan majlis perasmian galeri ini.
Tuanku Aishah Rohani menyempurnakan perasmian upacara penyingkapan plak sebagai simbolik majlis.
Di samping itu, baginda berkenan meluangkan masa melawat galeri dan kilang jahitan.
Majlis turut diserikan dengan demonstrasi menjahit sejadah mini di ruangan ‘Experience Centre’.
Hadir sama pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda; Isteri Tunku Besar Tampin, Che Puan Anis Sobari dan anakanda baginda Tunku Zain Al- ‘Abidin Tuanku Muhriz serta tetamu kehormat lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




