Genap seminggu pemergian anakanda tercinta, pelakon, Amyza Aznan sekali lagi mencuri perhatian apabila meluahkan perasaan yang dipendam mengenai pemergian anak tercinta, Allahyarham Andre Mikhail.
Menerusi perkongsian di ruangan Instagram Story, Amyza mengakui dirinya amat merindui anak sulungnya itu.
“Aku ikhlas, tapi aku rindu. Ramadan sudah di depan mata. Ya Allah, aku rindu wajah yang tidak bisa kutatap, senyum yang tidak bisa kulihat, dan aku rindu suara yang dulu sering aku dengar.
“Aku hanya rindu kepada orang yang Engkau panggil lebih dulu, Ya Allah,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon drama Rindu Kasih itu sempat memohon doa akan kesejahteraan arwah anaknya yang kini sudah berada di sisi Pencipta.
“Terangi kuburnya dan terimalah amal ibadahnya, Ya Allah,” tulisnya.
Menerusi pemerhatian XTRA, Amyza juga turut memuat naik sepotong video pendek memperlihatkan arwah ketika menyanyikan Keluhan Perantau nyanyian Jamal Abdillah.
“Anakk…. Rindu,” kongsinya.
Pada Isnin lalu, Amyza memaklumkan anaknya, Andre Mikhail telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun berjuang melawan penyakit kanser paru-paru.




