GISBH: Reman 24 individu termasuk CEO disambung 7 hari

GISBH: Reman 24 individu termasuk CEO disambung 7 hari

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Reman terhadap 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali disambung tujuh hari lagi bagi siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan itu dibuat pasukan siasatan selepas reman kesemua individu yang ditahan semula tamat hari ini.

Menurutnya, reman terhadap isteri kepada seorang pengurusan tertinggi GISBH pula dibenarkan sehingga esok.

“Reman individu berprofil tinggi membabitkan siasatan GISBH termasuk Nasirudin dibenarkan sehingga 10 Oktober ini.

“Manakala isteri kepada seorang lagi pemimpin kanan GISBH pula dibenarkan hingga esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 laporan bekas pengikut GISBH) yang mendakwa dijadikan ‘buruh paksa’ kumpulan itu.

Razarudin berkata, laporan itu muncul susulan gesaan beliau supaya mangsa yang pernah dieksplotasi kumpulan itu tampil membuat laporan polis.

“Tarikh kejadian (dijadikan buruh paksa) berlaku dari 2013 hingga tahun ini.

“Mangsa yang terbabit pada tarikh kejadian berusia lingkungan 14 hingga 20-an. Lokasi kejadian berlaku di Miri, Sarawak; Rawang, Selangor dan Alor Setar, Kedah,” katanya.

Akhbar ini secara eksklusif mendedahkan pengakuan bekas pengikut GISBH yang tidak dibayar gaji, tiada caruman wang simpanan dan hanya disediakan tempat tinggal serta makan minum untuk keluarga.

Syarikat berkenaan didakwa memperoleh pendapatan bulanan dianggarkan lebih RM2 juta setiap bulan hasil ‘bayaran mahar’ daripada zon yang dibahagikan.

Malah menerusi laporan bersiri itu turut melaporkan bakar tangan, cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual antara bentuk penderaan yang dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal. Malah, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa liwat dan lebih malang selepas diliwat mereka pula akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.

Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa Rabu lalu di Seremban, Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top