Golongan M40 tak terkecuali terima manfaat subsidi bersasar

Golongan M40 tak terkecuali terima manfaat subsidi bersasar

PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa golongan M40 turut termasuk dalam kalangan 10 juta rakyat Malaysia yang layak menerima manfaat daripada pelaksanaan subsidi bersasar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memahami kegusaran golongan B40 pada masa sama memberi jaminan bahawa tiada rakyat akan tercicir daripada menikmati bantuan serta inisiaitf yang disalurkan pentadbirannya.

Insiaitif itu termasuk bantuan e-tunai RM100 menerusi eMADANI yang menerima tujuh juta permohonan sejak mula dibuka semalam.

“Jumlah 10 juta itu adalah mencecah (termasuk) M40, faedah yang kita beri suntikan ini seperti RM100 melalui e-Madani dan kita akan teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui sebuah syarikat televisyen swasta, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan kerajaan akan meredakan sebarang kenaikan harga barang atau petrol disebabkan pelaksanaan subsidi bersasar dengan meningkatkan Suntikan Tunai Rahmah (STR).

Tegasnya, pemberian STR dilihat sebagai langkah berkesan berbanding subsidi secara pukal yang turut dimanfaatkan oleh 10 peratus golongan kaya di negara, selain kira-kira 3.5 juta warga asing.

“Kalau penyasaran minyak (petrol), kita juga akan perkenalkan kaedah sama, kalau kenaikan itu menyebabkan orang perlu belanja RM100 sebulan (tambahan), kita tampung RM100 itu supaya tidak terkesan.

“Kita terima kenyataan, ada masalah (kenaikan) tapi untuk nyatakan harga barang tidak pernah tinggi seperti ini berbanding dulu adalah tidak benar,” katanya. -UTUSAN