mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuching: Status sebagai atlet podium dan beraksi dihadapan penyokong sendiri bukanlah satu perkara yang mudah buat atlet taekwando Sarawak, Chin Ken Haw untuk mempamerkan aksi mantap sekali gus memenangi dua emas dalam acara yang berlangsung di Stadium Perpaduan, sebentar tadi.
Rasa gugup dan goyah setiap kali namanya di laung dari tempat duduk penyokong sekali gus merasai bebanan perlu ditanggung dalam usaha mengharumkan nama negeri di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.
Ken Haw mempamerkan aksi cemerlang apabila mengutip emas dalam kategori poomase gaya bebas individu lelaki dan terbuka gaya bebas berpasukan sekali gus menyaksikan Sarawak bermula kaki kanan dalam sukan taekwondo hari ini.
Atlet berusia 21 tahun itu berkata, darah gemuruh melanda dirinya apabila beraksi di depan penyokong sendiri walaupun berpengalaman menyertai kejohanan luar negara.
“Persembahan hari ini cukup baik namun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki untuk tampil lebih sempurna pada masa akan datang.
“Jika diikutkan saya mengalami kecederaan sejak enam bulan lalu dan nasib baik sempat pulih seterusnya boleh beraksi pada hari ini.
“Siapa kata tidak gemuruh?… beraksi di hadapan penyokong dan tempat sendiri lagi gementar dan gugup tapi nasib baik segalanya berjalan lancar,” kata pelajar Universiti Sunway itu.
Terdahulu, kontinjen Sarawak terus melebarkan sayap mereka dalam sukan taekwondo apabila menyapu empat emas yang dipertandingkan dalam acara poomase di Stadium Perpaduan, sebentar tadi.
Secara keseluruhan, kontinjen Sarawak sudah mengutip tujuh emas dalam sukan taekwondo apabila semalam memperoleh tiga emas menerusi kategori poomase berpasukan lelaki dan wanita serta individu lelaki.
© New Straits Times Press (M) Bhd