am@hmetro.com.my
Jempol: Warga emas, Abdullah Alias 78, dari FELDA Palong Tiga hilang sejak petang semalam dan sehingga jam 5.30 petang ini, mangsa masih belum ditemui.
Komander Operasi Kanan Timbalan Penguasa Bomba (TPgB ) Jefri Jamal berkata mangsa dipercayai tidak pulang ke rumah selepas masuk ke dalam kebun sawit sejak petang semalam.
Katanya, motosikal ditunggang mangsa ditemui berada di dalam kebun sawit berkenaan oleh pasukan mencari dan orang ramai.
“Pada jam 10.30 pagi tadi PGO memohon bantuan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM) untuk ke lokasi kejadian sebelum operasi mencari dijalankan dalam kebun sawit milik mangsa seluas 4 hektar.
“Selain STORM pasukan mencari turut membabitkan polis, pasukan bomba sukarela dan orang awam,” katanya.
Menurutnya, Pos Kawalan Bomba (PKB) turut dibuka dilokasi kejadian pada jam 12.10 tengah hari tadi dengan operasi pencarian dibahagi kepada empat kumpulan dan bergerak di sekitar kebun sawit berkenaan.
“Pada jam 12.57 tengah hari, pasukan anjing pengesan K9 polis tiba dilokasi bagi membantu operasi mencari mangsa.
“Petang ini operasi mencari turut dibantu penduduk kampung sebelum operasi mencari akan ditangguhkan pada jam 6 petang ini dan disambung semula pagi esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




