mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketika momentum sedang memuncak, beregu campuran negara, Toh Ee Wei menerima tamparan hebat apabila kecederaan lutut yang dialaminya di Terbuka Singapura disahkan sebagai koyakan separa anterior cruciate ligament (ACL).
Kecederaan itu bukan sahaja menamatkan kemaraan pasangan ranking keempat dunia itu di Singapura, malah memaksa Ee Wei dan pasangannya, Chen Tang Jie menarik diri daripada Terbuka Indonesia 2026 yang bermula minggu ini.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan mengesahkan kecederaan yang dialami pemain berusia 24 tahun itu.
“BAM mengesahkan Toh Ee Wei mengalami kecederaan lutut ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu.”
“Penilaian MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) yang dilakukan kemudian mendapati terdapat koyakan separa ACL pada lutut kiri pemain itu,” katanya.
Menurut BAM, susulan keputusan itu, Ee Wei dan Tang Jie terpaksa menarik diri daripada Terbuka Indonesia bagi memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan.
Kecederaan berkenaan berlaku ketika Ee Wei dan Tang Jie berdepan pasangan India, Dhruv Kapila dan Tanisha Crasto dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura.
Ketika itu, pasangan negara berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir apabila mendahului 18-16 dalam set pertama sebelum malang menimpa Ee Wei.
Pemain itu gagal meneruskan permainan selepas mengalami kecederaan lutut kiri, sekali gus memaksa mereka menarik diri daripada perlawanan berkenaan.
Insiden itu serta-merta mencetuskan kebimbangan dalam kem badminton negara memandangkan Ee Wei dan Tang Jie sedang berada dalam prestasi memberangsangkan serta menjadi antara sandaran utama Malaysia dalam acara beregu campuran.
Pada masa sama, BAM turut memaklumkan bahawa Ee Wei dijadual menjalani satu lagi pemeriksaan MRI susulan pada Jumaat depan sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai rawatan dan program rehabilitasi ditentukan.
“Ee Wei dijadual menjalani pemeriksaan MRI susulan pada Jumaat depan, selepas itu pasukan perubatan BAM akan menentukan langkah rawatan dan rehabilitasi yang sesuai,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




