GP Bahrain: Hamilton menang, Grosjean selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Bahrain: Lewis Hamilton merekodkan kemenangan ke-95 sepanjang kariernya di Grand Prix (GP) Bahrain awal pagi tadi dalam perlumbaan yang turut menyaksikan Romain Grosjean mengalami kemalangan mengerikan hingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Juara dunia tujuh kali itu mengulangi pencapaian musim lepas dengan memenangi GP Bahrain serta meraih kemenangan ke-11 musim ini bersama jentera Mercedes dengan pemanduan yang cemerlang di Litar Sakhir.

Dalam perlumbaan itu, Hamilton menamatkan pelumbaan di hadapan Max Verstappen dan Alexander Albon yang masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.

Dalam pada itu, Hamilton memuji operasi keselamatan moden yang menyelamatkan Grosjean selepas jenteranya terbelah dua sebelum terbakar.

“Mujur halo berfungsi, ia mungkin lebih buruk lagi. Anda boleh cuba melebihi had, tetapi perlu menghormati risikonya”, kata Hamilton.

Grosjean gagal mengawal jentera Haas dipandunya sebelum merempuh penghadang tepi dan kemudian dilihat terbakar.

Dia terperangkap di dalam kokpit ketika kebakaran itu sebelum pasukan keselamatan berjaya mengeluarkannya.

“Hello semua, saya hanya ingin katakan yang saya dalam keadaan baik. Jika bukan kerana halo yang diperkenalkan beberapa tahun lalu, saya mungkin tidak dapat bercakap dengan anda hari ini”, kata Grosjean.

Akmal Hakim
Sports Desk