am@hmetro.com.my
Georgetown: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sekadar mengenai kisah kegagalan pentadbiran atau strategi pelaburan lemah tetapi mendedahkan satu bentuk pecah amanah yang tidak boleh diterima, bersifat sistemik dan dilakukan secara terancang.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, TH diwujudkan sebagai sebuah institusi suci dan pembangunan mulia, bertujuan mengurus simpanan hasil titik peluh rakyat Malaysia biasa yang berusaha memenuhi kewajipan agama bagi menunaikan ibadah haji.
Katanya, penjejasan integriti kewangan institusi itu menerusi ‘perakaunan kreatif’, pembayaran dividen secara tidak sah serta urus niaga berisiko tinggi membabitkan orang tengah, termasuk pembelian tanah berkaitan 1MDB dan transaksi Al-Rawda, bukan sekadar salah urus.
“Ia pencabulan moral yang serius namun menuding jari kepada beberapa individu atas kerugian RM13 bilion yang membawa institusi ini ke ambang keruntuhan hanya mengaburi masalah jauh lebih mendalam dan membimbangkan.
“Kita tidak seharusnya hanya bertanya apa yang sudah dicuri, tetapi perlu bertanya siapa yang membina, mengendalikan dan melindungi jaringan hingga membolehkan semua ini berlaku?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, skandal TH juga mendedahkan kewujudan satu kelompok elit tersendiri di Malaysia yang boleh digelar ‘Kelas Epstein Malaysia’ membabitkan golongan elit kaya dan berpengaruh serta berasa kebal daripada undang-undang.
Katanya, individu itu bertindak dengan penuh kekebalan kerana beroperasi dalam jaringan kepentingan bersama yang saling berkait rapat, dilindungi oleh payung perlindungan paling berkuasa iaitu kuasa politik.
“Bagaimana perbuatan tamak yang begitu berani dan keji boleh berlaku dalam sebuah institusi agama tanpa seluruh jentera pengawasan menutup sebelah mata? Ia tidak mungkin berlaku tanpa pembabitan atau kecuaian mereka.
“Ulama dan pentadbir agama pula memberi lapisan legitimasi keagamaan tipis serta perlindungan yang berselindung di sebalik kesolehan, ketika dana suci rakyat disalah guna.
“Manakala pakar undang-undang dan akauntan merangka rangkaian transaksi orang tengah yang berbelit-belit, menyusun struktur kewangan tidak telus serta memanipulasi penyata audit bagi menyembunyi keadaan kewangan yang sebenarnya sudah muflis.
“Pengawal selia dan pegawai kerajaan yang sengaja menutup mata, melengah tindakan atau meluluskan pelaburan berisiko tanpa penelitian sewajarnya,” katanya lagi.
Menurut Mohideen, golongan elit politik berkuasa ketika itu memperlakukan amanah awam yang suci sebagai tabung peribadi bagi tujuan naungan politik, kepentingan parti dan pengayaan golongan elit.
Katanya, ia merupakan konspirasi berlapis yang membabitkan sikap berdiam diri dan bersubahat secara terancang, sehingga menggadai simpanan pekerja, petani dan pesara yang dikumpul puluhan tahun bagi menunaikan haji.
“Sehubungan itu CAP menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira sama ada daripada kerajaan atau pembangkang supaya mengeluar kecaman secara bersatu dan bipartisan.
“TH adalah milik umat Islam dan rakyat Malaysia, bukannya milik mana-mana puak politik malah permainan mereka dan aksi keluar dewan yang berlaku di Parlimen mesti dihentikan.
“Parlimen mesti bersatu dalam mengecam pihak yang memungkinkan kegagalan institusi ini dan gagal melaksana tanggungjawab fidusiari mereka,” katanya.
Mohideen berkata, CAP juga menuntut kerajaan supaya tidak meninggalkan walaupun satu ruang yang tidak disiasat dalam usaha mendakwa setiap anggota Kelas Epstein Malaysia ini.
Katanya, beberapa individu yang dijadikan kambing hitam semata-mata tidak mencukupi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Peguam Negara mesti menjejak setiap perancang, orang tengah, akauntan yang meluluskan transaksi secara membuta tuli dan setiap pengendali politik terbabit.
“Rampas segala keuntungan haram mereka, tarik balik gelaran dan anugerah yang diperoleh secara tidak wajar, beri hukuman setimpal dan pada tahap maksimum yang dibenarkan undang-undang.
“Jika jaringan kekebalan itu gagal diruntuhkan hari ini, kita membuka ruang bagi institusi suci yang lain pula dijarah pada masa hadapan.
“Sudah tiba masanya Kelas Epstein Malaysia ini didedahkan dan dibawa keluar daripada bayang-bayang kuasa, kerana mereka yang mengkhianati amanah suci rakyat tidak seharusnya mendapat perlindungan mahupun belas kasihan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
