GPMS kesal tindakan cuba membeza-bezakan semangat kemerdekaan

GPMS kesal tindakan cuba membeza-bezakan semangat kemerdekaan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang didakwa tidak pernah puas memecahbelahkan rakyat termasuk dalam isu semangat patriotisme.

Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari supaya negeri di bawah PN menggunakan tema alternatif sempena Hari Kemerdekaan mengecewakannya.

“GPMS kesal dengan tindakan yang cuba membeza-bezakan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia sedangkan kerajaan Persekutuan telah menetapkan tema dan lgo Hari Kebangsaan.

“GPMS menegaskan, perbezaan parti pemerintah di pusat atau di negeri tidak sepatutnya membezakan isu semangat patriotisme, tema kemerdekaan dan apa-apa lagi lambang kebangsaan,” ujarnya dalam kenyataan.

GPMS merayu rakyat Malaysia mula mengibarkan bendera dan menyemarakkan perasaan cinta kepada negara.

Jika pemimpin tidak mampu menonjolkan semangat patriotisme biarlah rakyat menunjukkan kesepaduan demi negara tercinta, katanya. – MalaysiaGazette