GSF 2.0 catat sejarah tersendiri, berjaya cetuskan gelombang solidariti antarabangsa

GSF 2.0 catat sejarah tersendiri, berjaya cetuskan gelombang solidariti antarabangsa

am@hmetro.com.my

Sepang: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencetuskan gelombang solidariti antarabangsa dalam usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, seramai 28 aktivis kemanusiaan Sumud Nusantara selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul, Turkiye susulan insiden penculikan dan serangan ketika misi pelayaran itu berlangsung.

Menurutnya, misi yang merekodkan 960 jam atau 40 hari pelayaran merentasi Laut Mediterranean itu kini termaktub dalam sejarah kemanusiaan sebagai usaha kolektif masyarakat dunia bagi menembusi sekatan dan menghantar bantuan kepada Gaza.

Beliau turut mengesahkan seorang aktivis Malaysia, Razman Mat Ali mengalami kecederaan serius ‘traumatic pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat didakwa diserang tentera rejim ketika ditahan.

“Mangsa kini masih menerima rawatan di Istanbul selepas menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil. Beliau dijangka dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh 21 hari,” Katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Seramai 28 delegasi Malaysia yang menyertai GSF 2.0 dan dibebaskan daripada tahanan Israel tiba di KLIA selepas berlepas dari Istanbul, Turkiye dan transit di Dubai dengan pesawat Emirates Airlines pada jam 9.30 malam.

Sani Araby berkata, misi yang bermula dari Barcelona, Sepanyol pada 12 April lalu berdepan dua insiden pintasan di perairan antarabangsa iaitu pada 29 April berhampiran Greece dan 18 Mei berhampiran Cyprus.

Menurutnya, SNCC mendakwa tindakan itu mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 yang membenarkan laluan bantuan kemanusiaan di laut bebas.

Katanya,bukti berkaitan pencabulan undang-undang antarabangsa, kekerasan dan penganiayaan terhadap aktivis ketika dalam tahanan kini dikumpulkan oleh badan guaman Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) bagi tindakan lanjut.

“SNCC bersama CENTHRA akan meneruskan tekanan perundangan menerusi prinsip Universal Jurisdiction bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sani Araby berkata, GSF2.0 menghimpunkan 422 aktivis daripada lebih 40 negara termasuk ahli parlimen, doktor, peguam dan pengamal media dalam solidariti terhadap Palestin.

Menurutnya, Turkiye mencatat penyertaan tertinggi dengan 80 aktivis diikuti Sepanyol (44), Perancis (36), Itali (28), Amerika Syarikat (24) dan Malaysia (29).

Katanya ,insiden terhadap flotilla itu turut mencetuskan tekanan geopolitik antarabangsa apabila pelbagai negara termasuk Malaysia, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Ireland, Kanada dan Jerman serta organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) mengecam tindakan terbabit.

“SNCC mengumumkan pelaksanaan ‘Sumud Protocol’ Fasa 1 sebagai gerakan susulan bagi memperkukuh tekanan antarabangsa terhadap rejim Israel dan memperluaskan solidariti dunia terhadap Palestin,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, antara langkah yang dirancang termasuk menggerakkan sokongan sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen Malaysia merentas parti menerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia serta mendesak sidang khas Parlimen diadakan berhubung isu Palestin dan koridor maritim kemanusiaan Gaza.

Selain itu, CENTHRA dengan sokongan Kerajaan Malaysia juga sedang menggerakkan usaha memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan pencabulan undang-undang antarabangsa termasuk serangan terhadap kapal bantuan kemanusiaan dan kemusnahan aset berkaitan Malaysia di Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top