Guardiola mahu City terus tekan Arsenal

Guardiola mahu City terus tekan Arsenal

Manchester: Pep Guardiola berkata, Manchester City perlu bangkit apabila melayan Brentford, tengah malam esok untuk memberi tekanan semula kepada Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Keputusan seri dramatik 3-3 City menentang Everton, awal pagi Selasa lalu, menyerahkan nasib kejuaraan kepada Arsenal.

Arsenal mendahului lima mata dengan baki tiga perlawanan, manakala City masih mempunyai empat aksi berbaki.

Kemenangan buat skuad kendalian Guardiola di Stadium Etihad menentang Brentford yang memburu slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akan mengurangkan jurang di tangga teratas sekurang-kurangnya selama 24 jam sebelum Arsenal bertandang ke gelanggang West Ham United.

“Beri tekanan kepada Arsenal dengan memenangi perlawanan kami,” kata Guardiola pada sidang media praperlawanan.

“Itu saja yang perlu kami lakukan. Itu saja yang kami boleh lakukan.”

City hampir tewas di Everton sebelum rembatan sensasi Jeremy Doku pada saat akhir menyelamatkan satu mata.

Pemain Belgium itu menjaringkan dua gol di Stadium Hill Dickinson untuk menjadikan jumlah keseluruhannya empat gol dalam lima perlawanan terakhir selain mencatat musim paling produktif bersama City dengan tujuh gol.

“Saya sangat gembira,” tambah Guardiola mengenai perkembangan Doku.

“Bukan saja gol dan bantuan jaringan, malah sumbangan dari segi pertahanan juga. Jeremy sangat menakjubkan musim ini.”

Kejuaraan liga ketujuh dalam tempoh sembilan musim mungkin sukar dicapai City, namun kelab itu tetap meraikan kejayaan pertama Liga Super Wanita (WSL) selepas 10 tahun, minggu ini.

Skuad kendalian Andree Jeglertz menamatkan dominasi enam gelaran liga berturut-turut milik Wanita Chelsea.

“Hari ini adalah realiti dalam dunia bola sepak mengenai impak pasukan wanita terhadap masyarakat dan golongan wanita muda, serta bagaimana mereka menikmati permainan bola sepak,” tambah Guardiola.

“Saya fikir ia adalah langkah terbesar yang dicapai dunia bola sepak dalam sedekad terakhir. Sebelum ini, anda tidak dapat membayangkan impaknya terhadap kanak-kanak perempuan dan remaja yang kini berkata, ‘Saya mahu bermain bola sepak’.

“Selagi anda bermain sukan, ia sesuatu yang hebat. Dan tentunya, tahniah besar buat pasukan wanita City.”

Guardiola berharap Rodri mampu kembali daripada kecederaan ketika menentang Brentford, manakala pertahanan tengah, Ruben Dias dan Josko Gvardiol semakin hampir pulih sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top