Selangor dijangka mempunyai stok penimbal bagi lima makanan asas utama menjelang Disember tahun ini menerusi pengukuhan peranan Gudang Makanan Selangor yang menerima peruntukan RM50 juta di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1.
Langkah itu dilihat sebagai persediaan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh keselamatan makanan dan mengurangkan impak gangguan bekalan global yang menjejaskan harga serta ketersediaan bahan makanan.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini Gudang Makanan Selangor telah mewujudkan stok penimbal sebanyak 3,750 tan metrik, bersamaan 7.93 peratus daripada keperluan bulanan untuk 30 peratus penduduk negeri itu.
“Dengan sasaran untuk menambahkan sebanyak 3,500 tan metrik beras melalui Gudang Makanan Selangor, stok penimbal beras dapat ditingkatkan kepada 15.34 peratus daripada keperluan bulanan 30 peratus rakyat Selangor.
“Selain itu, Gudang Makanan Selangor bakal berupaya menyediakan stok penimbal menerusi pembelian 1,000 tan metrik ayam, 100 tan metrik daging, 800 tan metrik ikan dan 150 tan metrik minyak masak menjelang Disember 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu.
Selain memperkukuh bekalan makanan, Kerajaan Negeri turut meneruskan usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER).
Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan yang akan diadakan di 779 lokasi di seluruh Selangor dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.1 juta penduduk.
“JER dilaksanakan dua kali sebulan di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri yang sudah pun bermula sejak Mei dan akan berlangsung sehingga Disember 2026.
“JER sebagai sebuah program sudah menjadi sinonim dengan tekad Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan tanpa menjejaskan pendapatan golongan peniaga kedai runcit di negeri ini,” katanya.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai respons terhadap krisis tenaga dan gangguan bekalan global susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kos sara hidup serta rantaian bekalan makanan.
Menerusi pelbagai langkah intervensi yang diumumkan, Kerajaan Negeri berusaha memastikan bekalan makanan kekal stabil, harga lebih terkawal dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi semasa.




