nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penternak ladang ayam di Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor perlu mengurangkan populasi lalat menggunakan teknik moden bagi mengatasi masalah dialami penduduk setempat.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pihak terbabit juga perlu menjaga kebersihan kawasan penternakan ayam.
“Secara umumnya, lalat adalah serangga yang membawa penyakit kepada manusia dan ia dianggap sebagai makhluk perosak, selain tikus dan lipas.
“Kuman paling banyak adalah jenis Bacillus spp iaitu sebanyak 31.1 peratus daripada lalat rumah; Staphylococcus spp (22.9 peratus) Escherichia coli (11.6 peratus) dan Enterococcus spp.
“Lalat rumah disyaki membawa kuman kepada 65 jenis penyakit termasuk demam typhoid , dysentery, cholera, poliomyelitis, yaws, anthrax, tularemia, leprosy, malah kuman tuberculosis daripada kahak pesakit TB,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Sharifa Ezat berkata, penyakit-penyakit berkenaan berkemungkinan merebak kepada manusia sekiranya makanan atau hidangan dihinggapi lalat.
“Lalat mentransmisi melalui kuman melekat di kaki, bertelurkan ulat lalat, memuntahkan makanan daripada mulutnya dan najis lalat boleh diletakkan pada makanan.
“Penyakit miasis (ulat lalat) juga boleh masuk ke bawah kulit dan menjadi infestasi luka kepada manusia,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan lalat yang banyak di sesuatu lokasi didorong oleh faktor bau dan najis ayam seperti dalam kes membabitkan penduduk di Kampung Ladang Batu.
Justeru katanya, penternak perlu mengurangkan populasi lalat menggunakan teknik moden yang tepat dan menjaga kebersihan.
“Kawasan yang menyediakan dan membekal makanan juga perlu sentiasa dijaga tahap kebersihannya termasuk menutup makanan,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan kehidupan seharian penduduk di Kampung Ladang Batu, terganggu berikutan masalah lalat yang mengganggu aktiviti harian.
Resah kehidupan terjejas akibat lalat
© New Straits Times Press (M) Bhd




