Kes lelaki bunuh kekasih hamil dibicara Oktober depan

Kes lelaki bunuh kekasih hamil dibicara Oktober depan

Klang: Perbicaraan kes seorang lelaki didakwa membunuh kekasihnya yang hamil dua tahun lalu akan bermula pada 27 Oktober depan di Mahkamah Tinggi, di sini.

Timbalan Pendaftar Mohd Hirman Ab Raub menetapkan tarikh baharu itu ketika sebutan kes itu hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad dan peguam Nik Ahmad Burhan Nik Abdul Mubin yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali.

Mahkamah menetapkan 27 hingga 31 Oktober, 3 hingga 7 November dan 10 hingga 14 November tahun ini untuk perbicaraan kes tersebut, manakala tarikh akhir bagi pengurusan kes ditetapkan pada 8 September.

Sebelum ini, mahkamah itu menetapkan perbicaraan kes berkenaan akan bermula pada 23 Februari 2026.

Muhammad Fakrul Aiman, 22, didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam pada 22 Mei dan 8 pagi, 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau pada 22 Mei 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top