Hamas sahkan telah tangkap ejen perisik Israel, pembunuh Dr. Fadi – Utusan Digital

BAITULMUQADDIS: Kumpulan Hamas memaklumkan telah menangkap seorang warga Palestin yang didakwa bekerjasama dengan agensi pengintip Israel, Mossad, dalam pembunuhan seorang pakar persenjataan kumpulan itu di Malaysia.

Kejadian pembunuhan itu berlaku di Danau Kota, Kuala Lumpur pada April 2018.

Menurut laporan The Times Of Israel, Dr. Fadi Mohammed al-Batsh, seorang jurutera elektrik kelahiran Gaza dan ahli Hamas, telah ditembak mati oleh dua penunggang motosikal ketika dia berjalan untuk menunaikan solat subuh di Kuala Lumpur pada 2018.

“Kami menahan seorang yang terlibat dalam pembunuhan jurutera Fadi al-Batsh di Malaysia. Dia mengaku mengambil bahagian dalam pembunuhan itu, yang ditugaskan oleh Mossad Israel,” kata Kementerian Dalam Negeri Gaza yang dikendalikan Hamas dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek masih belum dikenal pasti secara terbuka oleh pihak berkuasa Hamas.

Bapa Dr. Fadi memberitahu media Gaza bahawa dia akan menuntut hukuman mati dan meminta dia dibenarkan untuk melaksanakannya sendiri.

“Saya akan meminta untuk melakukan kepadanya apa yang dia lakukan kepada anak saya,” kata Mohammad al-Batsh kepada agensi berita Shehab yang berkaitan dengan Hamas.