Hampir setengah juta ringgit lesap angkara 'ejen kurier, polis'

Hampir setengah juta ringgit lesap angkara 'ejen kurier, polis'

am@hmetro.com.my

Seremban: Pesara guru wanita kerugian hampir RM500,000 apabila diperdaya sindiket menyamar sebagai ejen syarikat kurier dan polis mendakwa terdapat bungkusan atas nama mangsa mengandungi bahan terlarang.

Wanita berusia 56 tahun itu menerima panggilan pertama pada 15 November sebelum mendapati wang di dalam akaunnya lesap dan membuat laporan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita itu yang mendakwa ditipu membabitkan kerugian RM480,000.

“Pada 15 November lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek menyatakan kononnya terdapat bungkusan mengandungi buku cek dan kad pengenalan yang didaftarkan atas nama mangsa

“Mangsa yang ketakutan mengikut segala arahan dengan menekan pautan yang diberikan menerusi telefon bimbit selain berkongsi maklumat akaun banknya bagi tujuan menyelesaikan masalah itu,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian curiga dengan urusan itu sebelum membuat semakan akaun banknya dan mendapati terdapat pengeluaran sebanyak RM480,000 sebelum membuat laporan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd