Hantavirus: Pasukan payung terjun UK dikerah ke pulau terpencil untuk misi bantuan

Hantavirus: Pasukan payung terjun UK  dikerah ke pulau terpencil untuk misi bantuan

Madrid: Pasukan payung terjun United Kingdom (UK) dikerahkan ke wilayah seberang laut negara itu yang paling terpencil, Tristan da Cunha bersama petugas perubatan dan bekalan perubatan selepas satu kes disyaki Hantavirus disahkan di pulau berkenaan.

Tristan da Cunha ialah pulau paling berpenghuni paling terpencil di dunia, di Lautan Atlantik Selatan. Ia terletak kira-kira 2,800 kilometer (km) dari Cape Town, Afrika Selatan.

Pasukan terdiri daripada enam anggota payung terjun dan dua pegawai perubatan tentera dari Briged Serangan Udara ke-16 itu terjun dari pesawat pengangkut RAF A400M.

Pesawat itu terbang sejauh 6,788 km dari pangkalan udara RAF Brize Norton di Oxfordshire ke Pulau Ascension, satu lagi pulau di Lautan Atlantik Selatan, sebelum meneruskan penerbangan sejauh 3,000 km ke arah selatan ke Tristan da Cunha.

Turut digugurkan dari pesawat dalam misi Sabtu itu, bekalan oksigen dan bantuan perubatan lain.

Pesawat A400M itu turut diisi semula bahan api ketika penerbangan oleh pesawat RAF Voyager yang memberi sokongan.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan UK berkata, operasi itu adalah kali pertama tentera UK menempatkan petugas perubatan untuk memberikan bantuan kemanusiaan menerusi penghantaran pasukan payung terjun.

Bekalan itu terutama ditujukan kepada seorang lelaki warganegaranya, juga penumpang kapal persiaran yang terjejas akibat wabak hantavirus.

Terdahulu, kapal persiaran itu berlabuh di pulau berkenaan antara 13 hingga 15 April lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, lelaki itu melaporkan simptom yang sepadan dengan hantavirus pada 28 April. Dia kini berada keadaan stabil serta dalam pengasingan.

“Dengan bekalan oksigen di pulau itu berada pada tahap kritikal, penghantaran melalui udara bersama petugas perubatan adalah satu-satunya kaedah untuk membawa rawatan penting kepada pesakit tepat pada masanya,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan itu.

Tristan da Cunha yang mempunyai kira-kira 200 penduduk adalah pulau berpenghuni paling terpencil di dunia, dan hanya boleh diakses menggunakan bot kerana tidak mempunyai landasan kapal terbang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top