Hari sempurna berbasikal trek negara, tiga emas termasuk pingat ke-200

Hari sempurna berbasikal trek negara, tiga emas termasuk pingat ke-200

sukan@hmetro.com.my

Bangkok: Skuad berbasikal trek negara menikmati hari sempurna di Velodrom Hua Mark, Bangkok, hari ini, apabila menyapu bersih tiga pingat emas dalam tiga acara di Sukan Sea, termasuk kejayaan bersejarah menghadiahkan pingat ke-200 Malaysia, yang hadir penuh bermakna dalam warna emas.

Detik bersejarah itu dilakar menerusi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki, menyaksikan kuartet Azim Aliyas, Hafiq Jafri, Yusri Shaari dan New Joe Lau mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pasukan tuan rumah Thailand pada perlumbaan akhir.

Malaysia terlebih dahulu mencatat masa 4 minit 18.606 saat pada pusingan kelayakan, jauh lebih pantas berbanding Thailand yang merekodkan 4:25.349, manakala Indonesia tersingkir daripada perebutan pingat selepas dibatalkan penyertaan awal hari ini.

Thailand yang diwakili Nattakrit Kaeonoi, Thak Kaeonoi, Thurakit Boonratanathanakorn dan Putipong Chaloemsrimueang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Terdahulu, Nur Aisyah Zubir membuka tirai kejayaan negara apabila meraih emas acara scratch wanita, mengetepikan cabaran sengit pelumba Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Wakil Singapura, Elizabeth Tan, memenangi perak manakala Ayustina dari Indonesia membawa pulang gangsa.

Namun, tumpuan hari ini terarah kepada Muhammad Ridwan Sahrom, yang menghadiahkan emas acara keirin lelaki pada penampilan sulungnya di Sukan Sea.

Pelumba berusia 23 tahun itu tidak dapat menahan sebak ketika mengulas kejayaannya yang disifatkan sebagai hasil pengorbanan panjang serta sokongan keluarga.

“Saya ingin berterima kasih kepada jurulatih, keluarga, rakan sepasukan dan semua staf yang bekerja dari pagi hingga petang. Ini emas pertama trek hari ini dan saya sangat gembira,” katanya.

Ridwan turut mendedahkan latihan intensif selama sebulan di luar negara, termasuk di Chiang Mai, Thailand, akhirnya membuahkan hasil.

Pingat perak dan gangsa acara keirin dimenangi pelumba Thailand, Jai Angsuthasawi dan Norasetthada Bunna, manakala seorang lagi wakil negara, Fadhil Zonis, menamatkan saingan di luar kedudukan podium.

Mengulas lanjut, Ridwan mengakui tekanan menjelang perlumbaan dipengaruhi komen negatif di media sosial yang mempersoalkan keupayaan skuad trek negara.

“Saya tutup terus media sosial. Ada komen yang kata kalau berbasikal trek tak menang emas, memang tak masuk akal. Itu sangat mengganggu fikiran saya,” katanya.

Sebaliknya, Ridwan mengambil kekuatan daripada keluarga, khususnya ibu bapa serta abang sulungnya, Muhammad Shah Firdaus, yang baru menjalani pembedahan.

“Pingat emas ini untuk keluarga saya dan untuk Shah. Dia antara penyokong terbesar saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top