Harimau Muda tiada pilihan selain wajib tundukkan Thailand

Harimau Muda tiada pilihan selain wajib tundukkan Thailand

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Nafuzi Zain kini berada di persimpangan paling genting dengan tiada lagi talian hayat atau peluang kedua dalam misi memburu tiket ke Piala Asia B-23 2026 di Arab Saudi.

Berdasarkan kepada kedudukan terkini, Malaysia berada di tangga ketiga kumpulan F dengan tiga mata hasil kemenangan bergaya 7-0 ke atas Mongolia, selepas dikecewakan Lubnan 0-1 pada perlawanan pembukaan.

Thailand dan Lubnan mendahului carta dengan empat mata, sementara Mongolia sudah tersingkir tanpa sebarang kutipan.

Kedudukan ini meletakkan Malaysia dalam situasi wajib menang untuk menyalakan semula impian ke pentas Asia.

Mengikut format kelayakan, hanya 11 juara kumpulan serta empat naib juara terbaik daripada keseluruhan 11 kumpulan akan melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

Justeru, kemenangan ke atas Thailand akan melonjakkan Malaysia mengumpul enam mata dan berpeluang sama ada muncul juara kumpulan atau sekurang-kurangnya merebut salah satu slot naib juara terbaik.

Sebaliknya, jika seri, skuad negara sekadar mengutip empat mata iaitu jumlah yang jarang memadai untuk berada dalam kelompok naib juara terbaik, apatah lagi dengan persaingan sengit kumpulan lain.

Kekalahan pula pasti menguburkan terus impian Harimau Muda untuk menjejakkan kaki ke Arab Saudi.

Nafuzi jelas sedar kepentingan pertembungan ini dan sudah memberi peringatan kepada anak buahnya supaya mengekalkan disiplin tinggi, khususnya di benteng pertahanan yang sebelum ini rapuh ketika menentang Lubnan.

“Thailand kita tahulah macam mana dia punya pasukan dari segi kualiti berbeza dengan kita. Tapi apa pun, yang penting dalam bola sepak ni semua benda boleh terjadi. Yang penting kita kena usaha dan yakin,” katanya.

Selain faktor taktikal, kekuatan mental juga bakal menjadi penentu kerana beraksi di hadapan penyokong tuan rumah bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani skuad muda negara.

Andai berjaya melakar kejutan ke atas Thailand, bukan sahaja tiket ke Piala Asia B-23 akan menjadi milik Malaysia, malah ia akan memberi suntikan moral besar kepada pasukan bola sepak negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top