Henry kecewa sikap pemain Perancis

Henry kecewa sikap pemain Perancis

Paris: Jurulatih Perancis, Thierry Henry menyifatkan tingkah laku segelintir pemainnya tidak boleh diterima selepas kemenangan 1-0 ke atas Argentina pada aksi suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada saingan yang berlangsung di Bordeaux itu, ia berakhir dengan pergaduhan dan layangan kad merah dikenakan kepada pemain tengah, Enzo Millot.

Tuan rumah menumbangkan Argentina semalam untuk membalas dendam kekalahan negara itu dalam perlawanan akhir Piala Dunia yang lalu serta video provokasi barisan pemain Argentina yang dilabelkan sebagai rasis terhadap pemain Perancis.

Kemenangan itu, hasil gol minit ke-5 sumbangan Jean-Philippe Mateta, tercemar sejurus selepas wisel penamat apabila cara Perancis meraikan kejayaan mereka di hadapan pemain Argentina menyebabkan berlaku insiden pergaduhan di mana Millot dilayangkan kad merah.

“Saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di hujung perlawanan,” kata Henry kepada stesen penyiar Argentina, TyC Sports.

“Salah seorang pemain saya mendapat kad merah dan saya tidak dapat menerimanya, ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya pergi untuk berjabat tangan dengan (jurulatih Argentina, Javier) Mascherano dan, apabila saya berpaling, pergaduhan itu sudah berlaku,” tambahnya.

Henry bagaimanapun memuji rakan sejawatannya dari Argentina, Mascherano, selepas kedua-dua pasukan mempamer aksi sengit di mana pasukan Amerika Selatan itu berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi akhirnya dihalang oleh barisan pertahanan Perancis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top