Hetty buat persembahan percuma atas dasar sahabat – Mohamad Sabu

Hetty buat persembahan percuma atas dasar sahabat – Mohamad Sabu

am@hmetro.com.my

Serdang: “Kalau kita nak bayar, kita tidak akan mampu,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengulas kedatangan penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang yang membuat persembahan, hari ini.

Beliau berkata, Hetty adalah sahabatnya dan isteri yang diundang menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kos untuk menjemput beliau (menyanyi) ratus ribu, tetapi dia (Hetty) bagi perkhidmatan percuma sebagai sahabat saya dan isteri… kebetulan juga dia mahu ke Pulau Langkawi, maka dia bersedia untuk singgah di sini dan beri persembahan percuma.

“Kalau kita nak bayar kita tidak akan mampu kerana dia bertaraf profesional dan selalunya membuat persembahan di Singapura kerana kita tahulah nilai mata wangnya yang tinggi dibandingkan dengan rupiah dan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak.

Terdahulu, Hetty muncul pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM dan mempersembahkan tiga lagu popularnya iaitu Tak Ingin Sendiri, Tradisi Hari Raya dan Berdiri Bulu Romaku.

Sebelum itu, turut membuat persembahan pada majlis itu adalah Datuk Jamal Abdillah.

Sementara itu, Hetty selepas selesai persembahan turut memaklumkan yang beliau tiba dari Jakarta, semalam dan bertandang ke Malaysia kerana akan bercuti ke Pulau Langkawi, esok.

“Tetapi apabila diundang Datuk (Mohamad) dan Datin ke majlis ini, saya tidak boleh tidak datang, kerana persahabatan dengan Datin sudah lama semasa Datuk jadi Menteri Pertahanan lagi,” katanya yang turut menjemput Mohamad dan isteri ke rumahnya lagi di Jakarta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top