Hikmah malam Jumaat, gelora rumah tangga Faisal Halim, Syazwani berakhir

Hikmah malam Jumaat, gelora rumah tangga Faisal Halim, Syazwani berakhir

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hikmah malam Jumaat benar-benar dirasai pemain bola sepak negara, Faisal Halim apabila badai rumah tangga yang melanda berakhir dengan damai.

Selepas episod penuh emosi, Faisal dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahri akhirnya memilih untuk kembali bersama sebagai pasangan suami isteri dan mengumumkan berita baik itu menerusi laman sosial masing-masing pagi semalam.

Faisal yang juga tonggak Selangor FC mengakui hatinya cukup lega kerana hubungan rumah tangganya kembali jernih, sekali gus membolehkan dirinya fokus kepada karier bola sepak.

“Alhamdulillah saya dan isteri sudah berdamai dan kembali hidup sebagai pasangan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk kebahagiaan kami berdua.

“Saya berasa gembira kerana lepas ini saya boleh tumpukan kepada karier saya tanpa apa-apa kekangan. Peguam saya akan uruskan dengan peguam Wani (Nur Syazwani Mizuana) isu-isu lain di mahkamah 16 Oktober ini,” katanya kepada Harian Metro menerusi peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, semalam.

Situasi itu juga menyaksikan senyuman kembali mekar pada wajah Faisal, sekali gus menutup lembaran pahit yang pernah mencalar kebahagiaannya.

Sementara itu, Akberdin menjelaskan anak guamnya sejak awal tidak pernah berhasrat mahu menoktahkan rumah tangga.

“Segalanya sudah terlerai dan selesai apabila masing-masing berbaik semula. Itu sebenarnya perkara yang diinginkan Faisal kerana yang failkan penceraian adalah isterinya.

“Cuma kes pengesahan cerai dan rujuk tetap akan diteruskan kerana lafaz pada 15 Jun lalu perlu direkodkan sebelum semua selesai sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, Syazwani memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu disatukan pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Khalish Aryan, yang menjadi pengikat kasih dalam perkahwinan mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top