Berlin: Kasper Hjulmand menegaskan pelantikannya sebagai pengendali baharu Bayer Leverkusen bukan untuk “membuktikan apa-apa” sebaliknya kerana cintanya terhadap bola sepak dan Bundesliga.
Jurulatih berusia 53 tahun itu kembali ke Jerman selepas pengalaman pahit bersama Mainz pada musim 2014-15 apabila dipecat selepas hanya satu kemenangan daripada 13 perlawanan.
Kemunculan terakhirnya di tepi padang juga tidak meninggalkan kenangan yang manis apabila skuad kendaliannya, Denmark tewas 0-2 kepada tuan rumah Jerman di pusingan 16 Euro 2024.
“Saya tidak masuk ke dalam bidang ini, atau mana-mana pekerjaan, untuk membuktikan sesuatu. Saya melakukannya kerana saya cintakan permainan ini dan semangat di sebaliknya. Saya cintakan Bundesliga.
Hjulmand diumumkan menggantikan Erik ten Hag yang dipecat Isnin lalu selepas hanya mengendalikan dua perlawanan Bundesliga.
Ten Hag sebelum itu mengambil alih daripada Xabi Alonso yang membawa Leverkusen menjulang kejuaraan berganda liga dan piala pada musim 2023-24 sebelum berhijrah ke Real Madrid.
Namun, musim ini bermula penuh bergelora buat Leverkusen apabila beberapa tonggak utama seperti Florian Wirtz, Granit Xhaka, Jonathan Tah, Jeremie Frimpong, Victor Boniface, Piero Hincapie dan Lukas Hradecky turut meninggalkan kelab.
Hjulmand mengakui keadaan itu cukup sukar kerana dia tidak sempat menjalani pramusim bersama pemain baharu, namun yakin pengalamannya mengendalikan pasukan kebangsaan mampu membantu.
“Dalam pasukan kebangsaan, anda tidak banyak sesi latihan, tiada pramusim. Anda perlu sangat tepat dalam penggunaan masa di padang kami akan belajar dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.
Leverkusen kini hanya meraih satu mata daripada dua aksi pembukaan liga dan akan melayan kunjungan Eintracht Frankfurt pada Jumaat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




