Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my
Minat mendalam terhadap bola sepak membawa Sahrin Amir, 40, melangkaui bukan sekadar menjadi penonton di bangku stadium.
Malah, Sahrin kini dikenali sebagai antara pengumpul jersi vintaj paling aktif dalam komuniti peminat bola sepak tempatan.
Koleksinya bukan sahaja bernilai sejarah tinggi, malah ada yang mencecah ribuan ringgit menjadikan Sahrin antara nama yang disegani dalam dunia pengumpul (collector) jersi tanah air.
Cinta terhadap sukan nombor satu dunia itu turut membuka laluan baharu buat Sahrin apabila hobinya berkembang menjadi kerjaya.
Kini, selain bergelar pengumpul jersi, Sahrin turut berperanan sebagai pegawai perhubungan pasukan (LO), individu penting yang bertanggungjawab mengiringi serta membantu pasukan luar negara sepanjang berada di Malaysia.
“Bagi saya, kedua-dua dunia ini saling melengkapi. Satu memenuhi jiwa sebagai hobi, satu lagi membawa saya lebih dekat dengan nadi sebenar bola sepak,” katanya.
Segalanya bermula dengan jersi pasukan negeri kelahirannya, Sabah.
“Saya mula tertarik dengan jersi bola sepak ketika berjinak-jinak mengumpul jersi Sabah selain mengkaji rekaan jersi daripada era 80-an hingga 2000 kerana ia unik selain penuh dengan identiti,” ujarnya.
Daripada situ, minatnya berkembang kepada mengumpul jersi Skuad Kebangsaan Malaysia, malah koleksinya itu lengkap mengikut tahun keluaran.
Namun, Sahrin tidak berhenti di situ, dia terus memperluaskan koleksi kepada jersi kelab luar negara, bermula dengan pasukan kegemarannya, Manchester United, sebelum menambah kelab-kelab ternama lain di Eropah dalam senarai koleksi.
“Bila sudah banyak, makin teruja nak kumpul jersi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Serie A (Itali) dan juga jersi negara-negara lain,” katanya yang kini memiliki ratusan helai jersi asli pelbagai era.
Bagi Sahrin, jersi Sabah tetap paling bernilai dalam simpanannya kerana bila melihat kepada jersi itu, ia mengingatkannya kepada legenda seperti Hassan Sani, James Wong, Matlan Marjan, Suharmin Yusof, Jaya Kasim dan ramai lagi yang banyak mengharumkan nama Sabah serta Malaysia.
Setiap jersi lama, katanya, menyimpan kisah tersendiri kerana setiap helai jersi vintaj memiliki aura tersendiri.
“Ini kerana, ia pernah disarung oleh legenda seperti Pele, Maradona, Ruud Gullit, David Beckham, Ronaldo, Ronaldinho, Roberto Carlos, Luis Figo, Zinadine Zidane, Roberto Baggio dan Paolo Maldini.
“Satu kepuasan apabila memegang jersi itu, ia seakan menyentuh sebahagian daripada sejarah bola sepak di dunia,” katanya.
Peranan Sahrin sebagai pegawai perhubungan pasukan pula membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
“Mungkin ini rezeki saya apabila hobi jadi kerjaya dan bila jadi LO, saya berpeluang jumpa ramai pemain ternama, dapat autograf dan ada kalanya mereka hadiahkan jersi ‘matchworn’.
“Bagi saya, ini bukan sekadar kerja, ia seakan hobi yang dibayar,” katanya.
Namun, tidak semua pengalaman LO itu manis kerana ada pemain yang dilayan akan menganggap seperti kawan, tapi ada juga yang dingin, terlalu banyak tidak puas hati, kurang menghargai usaha selain mencabar kesabaran.
Apabila ditanya persamaan antara tugas LO dan hobi mengumpul jersi, Sahrin berkata, kedua-duanya berasa pada perkara yang sama iaitu bola sepak.
Bagi Sahrin, dalam dunia koleksi jersi dan LO, ia membawa banyak nilai tentang kehidupan itu sendiri malah bola sepak bukan sekadar tentang jersi tulen atau pemain legenda, tetapi erti diri dan semangat yang dibawa.
“Tulen bagi saya ialah bila sesuatu itu datang secara semula jadi, tanpa dibuat-buat dan setiap orang ada acuan hidup sendiri, dan bola sepak bagi saya ialah cerminan untuk semangat, bangsa dan negara,” jelasnya penuh makna.
Ditanya mengenai impian masa depan, Shahrin mahu meluaskan lagi perniagaan jersi dan mahu membuka gudang jersi vintaj di Malaysia selain dalam masa sama mahu meneruskan tugas sebagai LO selagi mampu.
“Bola sepak bukan sekadar kerja, ia hobi, jiwa dan impian yang saya bawa sejak dahulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




