“Zaman dahulu ramai juga cerai-berai, suami toksik, isteri tersakiti, suami dayus dan isteri nusyuz”.
Demikian reaksi penyanyi dan personaliti media sosial, Fynn Jamal ketika mengulas isu peningkatan kes rumah tangga bermasalah di Malaysia yang semakin membimbangkan.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Fynn menyuarakan kebimbangan terhadap situasi semasa yang memperlihatkan bagaimana perkahwinan kini seolah-olah menjadi satu ketakutan dalam kalangan anak muda terutamanya wanita.

Katanya, platform media sosial yang ada kini membuatkan isu tersebut tersebar dengan lebih pantas.
Justeru, tidak mustahil apa yang ‘dihidangkan’ pada generasi kini sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan dan perspektif mereka terutamanya dalam membuat keputusan.

Mengaku dia bukanlah seorang ustazah kerana tampil berani menyuarakan pendapat mengenai isu tular tersebut, Fynn bagaimanapun mengingatkan agar tidak terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan, terutamanya melibatkan soal perkahwinan.
Bahkan, tidak menjadikan perceraian atau berlaku curang pada pasangan sebagai pilihan pertama semata-mata mahu keluar daripada masalah.





