Ibrahimovic emosi kembali perkuat Sweden

Ibrahimovic emosi kembali perkuat Sweden

STOCKHOLM, Sweden: Zlatan Ibrahimovic menunjukkan sisi berbeza ketika tiba di sini menjelang kepulangannya bersama skuad kebangsaan negara itu selepas lima tahun menghilang.

Ibrahimovic menunjukkan sikap lebih sensitif terutama apabila ditanya berkenaan tanggapan dua anak lelakinya, Maximillian dan Vincent, berbanding tentang kepulangannya di pentas antarabangsa.

“Ia bukan soalan yang bagus. Vincent ada di sini, dia menangis ketika saya meninggalkannya. Tetapi tidak mengapa,” kata Ibrahimovic dengan air mata kelihatan di matanya.

Pemain paling berjaya Sweden itu, kini bersama AC Milan, bersara daripada arena antarabangsa dengan 116 kap dan 62 gol untuk negaranya.

Penyerang 39 tahun itu mengumumkan kepulangannya dengan memuat naik gambarnya memakai jersi Sweden ke Instagram dengan keterangan gambar “Kepulangan Dewa”.

Namun dia menegaskan tempatnya dalam pasukan kali ini bukan kerana pencapaian lampaunya, tetapi kerana dia berhak mendapatkannya.

Musim ini dia meledak 15 gol Serie A, termasuk gol pembukaan ketika kemenangan 3-2 ke atas Fiorentina Ahad lalu untuk terus menekan pendahulu liga Inter Milan.

Dia juga tidak kisah untuk tidak lagi menjadi kapten, tugas yang diambil alih Alexander Granqvist, pemain kelab Sweden Helsingborgs.

Ibrahimovic juga meminta untuk memakai jersi nombor 11 berbanding nombor 10 yang biasa dipakainya.

– AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top