am@hmetro.com.my
Port Dickson: Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga, begitulah perumpamaan sesuai untuk seorang ibu apabila anak bongsunya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan dalam masa sama, suaminya pula berhadapan masalah asma kronik.
Menurut Arinah Noordin, 38, anaknya, Marissa Arina Muhammad Hanafi berusia tiga bulan memerlukan kos pembedahan sebanyak RM40,000 sedangkan dia hanya bekerja di kedai makan.
“Mana mungkin saya mampu menyediakan wang RM40,000 kerana gaji saya hanya cukup makan sedangkan suami tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan akibat menghidap asma yang kronik sejak tiga tahun lalu.
“Allah uji keluarga saya dan tiada jalan lain selain mengharapkan ihsan orang ramai bagi mengumpulkan dana bagi membiayai pembedahan jantung anak kerana dia perlu segera dirawat,” katanya.
Menurutnya, dia turut mempunyai tiga anak dengan suami terdahulu yang meninggal dunia akibat kemalangan, 10 tahun lalu.
“Tiga anak dengan arwah suami terdahulu, Muhammad Haikal Saidin, 16, Maisarah, 15, dan Muhammad Asyraff, 13, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat, Lukut.
“Saya berkahwin dengan suami sekarang pada 2018 sebelum dia disahkan sakit sejak 2022 dan selepas itu tidak mampu bekerja,” katanya.
Arinah berkata, bayinya kini dirujuk ke Institut Jantung Negara selepas dirawat di Hospital Serdang.
“Apa lagi yang mampu saya usahakan kerana pendapatan saya hanya cukup untuk kami sekeluarga dan terpaksa mengharapkan bantuan orang ramai yang bersimpati dengan nasib kami,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Public Bank milik Arina, 6887839905.
© New Straits Times Press (M) Bhd




