Ibu Vozinha akhirnya tiba di Amerika Syarikat

Ibu Vozinha akhirnya tiba di Amerika Syarikat

Miami: Kisah penuh emosi penjaga gol Cape Verde, Vozinha di Piala Dunia terus mencuri perhatian apabila ibunya akhirnya tiba di Miami selepas memperoleh visa Amerika Syarikat, sekali gus membolehkan dia menyaksikan aksi pasukan itu menentang Uruguay, Isnin ini.

Ana Candida Evora berlepas dari Praia, ibu negara Cape Verde, selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat meluluskan permohonan visanya susulan luahan penuh sebak Vozinha selepas keputusan mengejut seri 0-0 dengan Sepanyol.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu muncul pemain terbaik perlawanan dan sebelum ini mengakui sedih apabila ibunya tidak dapat berada di Amerika Syarikat untuk menyaksikan aksinya.

Vozinha berkata, dia gembira kerana ibunya akhirnya berpeluang melihatnya beraksi di pentas Piala Dunia secara langsung.

Bagaimanapun, dia mahu tumpuan kini diberikan sepenuhnya kepada bola sepak ketika Cape Verde memburu keputusan positif yang mampu menghampirkan mereka ke pusingan kalah mati.

Evora tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami pada jam 3.53 petang waktu tempatan dengan mengenakan baju merah jambu sambil tersenyum dan bersalaman dengan kakitangan yang mempunyai akreditasi FIFA.

Ditemani pegawai FIFA dan kakitangan lapangan terbang, dia berjalan melepasi sekumpulan wartawan sebelum menaiki lif bagi meneruskan perjalanan untuk bertemu anaknya menjelang aksi Kumpulan H menentang Uruguay.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan berharap dia mengharungi perlawanan yang baik,” katanya kepada pemberita.

Masih belum dipastikan sama ada Evora akan terus melakukan perjalanan selama lima jam ke Tampa, lokasi penginapan anaknya menjelang perlawanan, atau menunggu sehingga hari perlawanan untuk pertemuan penuh emosi itu.

Cape Verde yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia mencipta kejutan apabila mengikat Sepanyol tanpa jaringan dalam aksi pertama mereka dan kini berpeluang semakin hampir ke pusingan kalah mati sekiranya berjaya mencatat keputusan positif ke atas Uruguay.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top