Kami datang untuk tumbangkan Jerman – Fae

Kami datang untuk tumbangkan Jerman – Fae

Toronto: Jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae menegaskan pasukannya tidak datang ke Toronto semata-mata untuk menyaksikan kehebatan Jerman, sebaliknya bertekad menewaskan gergasi Eropah itu bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Piala Dunia.

Fae menyatakan hasrat itu secara terbuka menjelang pertemuan Kumpulan E menentang juara dunia empat kali itu, esok.

“Kami tidak datang untuk melihat Jerman bermain. Kami datang untuk menewaskan mereka dan mendapatkan tiket ke pusingan kedua.

“Paling penting, kami mahu pulang ke kem latihan di Philadelphia dengan enam mata dan kepastian muncul juara kumpulan,” katanya.

Ivory Coast memulakan kempen dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Ecuador hasil jaringan lewat pemain gantian, Amad Diallo pada minit ke-90.

Skuad juara Piala Negara-Negara Afrika 2023 itu kini berpeluang mencatat kemenangan berturut-turut dalam dua aksi awal Piala Dunia buat kali pertama.

Jerman pula tampil dengan keyakinan tinggi selepas membelasah pendatang baharu Curacao 7-1 dengan enam pemain berbeza mencatat nama sebagai penjaring.

Bagaimanapun, Fae menegaskan pasukannya tidak akan mengubah pendekatan yang sudah dibina sejak lebih dua tahun lalu.

“Kami berkembang bersama dan bukan pada malam sebelum perlawanan kami mahu mengubah apa yang sudah menjadi kebiasaan.

“Kami mahu mengawal permainan, menggunakan kekuatan sendiri dan mengurangkan kelemahan yang ada.

“Kami membuat persiapan menghadapi Jerman sama seperti ketika menentang pasukan lain,” katanya.

Ivory Coast turut mencatat enam perlawanan tanpa bolos daripada 10 aksi terakhir mereka, namun Fae menolak tanggapan bahawa status bukan pilihan akan memberi tekanan kepada anak buahnya.

“Kami juga bukan pilihan ketika menentang Ecuador. Namun kami turun habis-habisan dan esok kami akan berdepan pasukan yang kuat.

“Kami tidak mahu memikirkan soal pasukan pilihan. Apa yang penting adalah memenangi perlawanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top