Jakarta: Iman Rachman mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Direktor Utama Bursa Saham Indonesia (IDX) berikutan pergolakan yang melanda pasaran negara itu selama dua hari.
Beliau berkata langkah itu diambil sebagai satu tanggungjawab peribadi susulan ketidaktentuan yang melanda pasaran baru-baru ini.
“Bahawa saya, sebagai Direktur Utama IDX dan bagi memikul tanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku dua hari lepas, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Direktur Utama Bursa Saham Indonesia.
“Saya berharap ini adalah yang terbaik bagi pasaran modal.
“Semoga dengan peletakan jawatan saya, pasaran modal kita akan menjadi lebih baik,” katanya ketika mengumumkan peletakan jawatan itu pada sidang media ringkas pada Jumaat.
Video sidang media itu turut dikongsi secara dalam talian di IDXchannel.
Sementara itu, dagangan di IDX ditangguhkan pada Rabu dan Khamis selepas penanda aras Indeks Komposit Jakarta (JCI) menjunam kira-kira 8 peratus, mencetuskan penggantungan dagangan sementara di bawah perlindungan turun naik.
JCI turut menerima tekanan pada Rabu selepas Morgan Stanley Capital International (MSCI) mengumumkan penangguhan pelarasan indeks tertentu untuk syarikat Indonesia, dengan alasan kebimbangan yang belum selesai mengenai struktur pemilikan yang tidak telus.
Saham Indonesia kekal lebih rendah ketika ditutup pada Khamis, dengan Indeks Komposit IDX penanda aras merosot 1.06 peratus, sebelum pulih pada pagi Jumaat.
Pada 10.36 pagi, Indeks Komposit IDX meningkat 1.53 peratus, atau 125.77 mata, kepada 8,357.97 daripada 8,232.20 ketika ditutup pada Khamis.
Dalam pada itu, Iman berkata, beliau berharap indeks akan terus meningkat susulan kenaikan pada pembukaan hari Jumaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




