IMMu Plan Johor untuk daftar vaksin

IMMu Plan Johor untuk daftar vaksin

farid_noh@bh.com.my

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor sedang membangunkan aplikasi khas untuk pendaftaran vaksin COVID-19 bagi rakyat negeri ini yang berulang-alik untuk urusan kerja di Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata aplikasi itu yang dikenali sebagai IMMu Plan Johor dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Sains dan Teknologi.

“Aplikasi ini sedang dibangunkan dan pada peringkat awal ini untuk mereka yang perlu bekerja dan berulang-alik setiap hari.

“Jumlah awal yang kita bincangkan dan kemuka permohonan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi adalah membabitkan seramai 100,000 individu untuk pendaftaran vaksin ini yang sudah dikenal pasti,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, hari ini.

Terdahulu Khairy mengadakan mesyuarat tertutup bersama Hasni serta ketua agensi awam negeri ini.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, beliau mengalu-alukan inisiatif kerajaan Johor membangunkan aplikasi khas berkenaan.

“Apa yang kementerian lihat, kita boleh integrasi senarai pendaftaran daripada aplikasi khas ini dengan MySejahtera, …ia tidak ada masalah.

“Jadi aplikasi ini digunakan untuk menyenaraikan mereka yang berulang alik dari Singapura dan kita boleh juga ambil data itu dan dimasukkan ke dalam MySejahtera untuk beri mereka temujanji vaksin nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top