Impian seorang kanak-kanak dari Pulau Banggi untuk menjadi Perdana Menteri akhirnya mendapat perhatian apabila dia berjaya menyerahkan sendiri sepucuk surat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi, hari ini.
Hadir bersama ibu bertemu PM
Memetik laporan daripada Bernama, Syam Aariz Rayyan Abdullah, 8, yang sering diejek rakan-rakan kerana cita-citanya itu hadir bersama ibunya seawal jam 8 pagi demi peluang bertemu pemimpin nombor satu negara tersebut.
Menurut ibunya, Norsakinah Junaidi, anak keduanya itu sangat teruja selepas mengetahui mengenai lawatan Anwar ke Pulau Banggi dan nekad mahu menulis surat sendiri buat Perdana Menteri.
“Saya bagitahu dia, ‘Perdana Menteri nak datang.’ Dia kata, ‘Mama saya nak tulis surat. Saya nak buktikan dengan kawan-kawan, dengan cikgu saya, sebab saya kata saya nak jadi Perdana Menteri diorang ketawakan saya.
“Jadi saya nak tulis surat, saya nak buktikan, saya nak hantar kat Perdana Menteri. Tolonglah saya mama sampaikan surat saya ini kepada Perdana Menteri,” katanya.

Kenangan manis dan pembakar semangat
Sebaik berjaya bertemu Anwar, jelas terpancar kegembiraan pada wajah Syam Aariz Rayyan apabila impiannya untuk menyerahkan sendiri surat tersebut menjadi kenyataan.
Bagi kanak-kanak itu, pertemuan singkat berkenaan bukan sekadar kenangan manis, malah menjadi pembakar semangat untuk terus percaya pada cita-cita besarnya.
Norsakinah berkata dia akan terus menyokong minat dan impian anaknya terutama dalam pendidikan kerana percaya kejayaan bermula daripada keyakinan diri dan usaha yang berterusan.

Diejek bukan pematah semangat
Baginya, surat kecil itu menjadi simbol keberanian seorang anak Pulau Banggi yang berani bermimpi besar walaupun pernah diketawakan.
Dalam pada masa yang sama, Anwar turut berkongsi hantaran di media sosial isi kandungan surat yang ditulis murid tahun dua terbabit.
Kanak-kanak terbabit bertanya tentang bagaimana cara untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat dan berharap Anwar dapat mengajarnya.

PM Anwar akan balas surat
Susulan daripada itu, Perdana Menteri mengucapkan ribuan terima kasih diatas surat yang diberikan dan akan membalas surat diterima itu melalui guru besar tempat kanak-kanak terbabit bersekolah.
“Terima surat daripada adik Nanang ketika di Pulau Banggi semalam. Ditanya bagaimana mahu jadi pemimpin. Insya-Allah nanti saya utus surat balas.
Pesan saya sentiasa baca buku, sayang dan cium ibu ayah selalu. Dan selamat ulang tahun kelahiran buat Nanang,” ujarnya.
Sumber: Bernama, Instagram anwaribrahim_my



