Indonesia kenakan cukai baharu ke atas e-rokok bermula 1 Januari

Indonesia kenakan cukai baharu ke atas e-rokok bermula 1 Januari

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan mengenakan cukai baharu ke atas rokok elektronik (e-rokok) bermula 1 Januari ini.

Langkah itu dilihat menambah cukai eksais dalam usaha mengekang vape.

Menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, Indonesia menetapkan cukai tambahan 10 peratus daripada tarif eksais untuk e-rokok.

“Penggunaan rokok elektronik untuk jangka masa panjang terbukti menjejaskan kesihatan orang ramai.

“Malah, cukai ke atas e-rokok juga diperlukan untuk menyamakan kedudukan dengan rokok konvensional,” jelas kenyataan itu.

Cukai baharu itu bakal dilaksanakan selepas Indonesia pada 2018 mengenakan cukai eksais sebanyak 57 peratus ke atas pati yang digunakan untuk e-rokok.

Indonesia antara negara mencatatkan kadar perokok tertinggi di dunia.

Negara berkenaan sudah lama mengenakan cukai terhadap rokok konvensional.

Sekumpulan pengeluar dan pelanggan rokok elektronik (PAVENAS) mengkritik tindakan kerajaan yang kurang mengadakan perbincangan dan masa pelaksanaannya, dengan mengambil kira tarif eksais produk itu akan meningkat tahun depan.

Kumpulan itu menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya mungkin mempertimbangkan membawa perkara itu ke mahkamah bagi mencabar pelaksanaan cukai berkenaan sekiranya kerajaan meneruskannya. – REUTERS