Ini amaran terakhir, Tiong King Sing arah samseng keluar dari Bintulu

Ini amaran terakhir, Tiong King Sing arah samseng keluar dari Bintulu

mdroji@bh.com.my

Kuching: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang berang dengan tindakan kumpulan samseng yang semakin melampau, menggesa mereka supaya meninggalkan bandar itu.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, jika tindakan tegas tidak diambil sekarang, kumpulan itu mungkin merasakan bahawa mereka boleh mengawal undang-undang dan mengancam keselamatan awam.

“Ini adalah amaran terakhir! Saya tidak mahu melihat aksi ganas berulang lagi dan saya menasihatkan mereka yang terbabit dengan aktiviti kumpulan samseng supaya beredar sebelum terlambat.

“Jika anda terus melanggar undang-undang dan menimbulkan masalah, anda perlu menghadapi akibatnya,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook, hari ini.

Beliau membuat hantaran itu susulan video tular di media sosial yang memaparkan serangan ganas yang dilakukan oleh ahli kumpulan samseng menggunakan gunting.

Menurutnya, kejadian itu mengejutkan sekali gus menimbulkan kebimbangan kalangan orang ramai sehingga ada menganggap Bintulu kini dikawal oleh kumpulan penjenayah.

Tiong berkata, beliau dimaklumkan suspek yang terbabit dalam kejadian itu sudah menyerah diri kepada polis.

“Saya menggesa Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali dan pasukannya supaya mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.

“Semestinya tiada kelonggaran dalam jenayah serius seperti itu dan kita mesti membanteras keganasan kumpulan kerana kejadian ini terlalu parah untuk diabaikan,” katanya sambil memaklumkan menerima video daripada individu yang bimbang Bintulu tidak lagi selamat.

Tiong yang turut menafikan tuduhan beliau terbabit dalam kumpulan samseng itu berkata tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terbabit dalam jenayah kekerasan itu.

“Ada orang yang mengaitkan saya dahulu, memfitnah yang saya ada kaitan dengan samseng.

“Biar saya jelaskan perkara ini. Saya menyokong penuh undang-undang dan tidak akan pernah bertolak ansur dengan keganasan atau jenayah dan saya tidak akan melindungi pelanggaran undang-undang.

“Tidak kira siapa yang saya jumpa, nasihat saya sentiasa sama, patuhi undang-undang dan pilih jalan yang betul,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top