‘Ini bukan krisis’ – Mahdzir Khalid

Padang Terap: Umno menafikan berlaku krisis dalaman dalam kalangan pimpinan parti itu berikutan perbezaan pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sebaliknya.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Umno untuk terus menyokong Bersatu setakat ini hanyalah pandangan masing-masing.

“Dalam Umno kalau setakat masing-masing beri pandangan ia belum dikira krisis, sebelum jadi krisis kita perlu selesaikan dahulu, kita duduk berunding tanya apa yang sebenar mereka mahu dan kenapa keluarkan kenyataan begitu begini.

“Jika sudah tak boleh berunding itu yang dinamakan krisis, walaupun masing-masing tumbuk meja kita belum anggap ia krisis kerana ia boleh selesai secara dalaman,” katanya ketika ditemui pada Program Ceria ke Sekolah CSR Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pemimpin dan wakil rakyat parti itu menyatakan untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekali gus ia bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang akan menamatkan kerjasama itu di peringkat nasional pada PRU akan datang.

Mahdzir yang juga Pengerusi TNB berkata, sebarang keputusan yang dibuat dalam Umno sudah mengambil kira untung rugi seperti urusan perniagaan.

Katanya, pandangan Melayu akan berpecah sekiranya Umno tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu adalah mengikut tafsiran individu yang mengeluarkan kenyataan itu.

“Apa-apa keputusan yang dibuat dalam politik sebenarnya mengambil kira atas perjalanan organisasi politik masing-masing. Ada untung seperti berniaga juga, begitu juga dalam politik.

“Jika ada yang berkata akan berlaku perpecahan Melayu, ia sebenarnya bergantung mengikut tafsiran yang hendak dibuat dan siapa yang mentafsirnya,” katanya.